20 murid Orang Asli tiada pakaian sukan
MELAKA - Seramai 20 murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist 1, Tengkera, di sini, tidak dapat menyertai aktiviti pendidikan jasmani kerana ketidakmampuan keluarga membeli pakaian sukan.
Keadaan tersebut berlarutan sejak permulaan sesi persekolahan awal Januari lalu malah kesemua mereka yang kini di Tahun Satu sekolah berkenaan juga dikatakan masih tidak mempunyai buku latihan.
Perkara itu didedahkan Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Low Chee Leong, yang turut bersimpati dengan situasi tersebut lantaran segera menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,200 bagi keperluan mereka.
Menurut Chee Leong yang juga ADUN kawasan Kota Laksamana, kehadiran beliau sebenarnya ke sekolah berkenaan adalah bagi menyampaikan sumbangan Bantuan Awal Persekolahan 2019, sebelum dimaklumkan mengenai situasi murid Orang Asli berkenaan.
"Saya simpati dan rasa bertanggungjawab dengan situasi murid Orang Asli berkenaan, walaupun sudah pertengahan Februari namun mereka masih tiada buku latihan dan dikhuatiri jika dibiarkan terlalu lama mereka akan ketinggalan.
"Malah, saya difahamkan dua daripada mereka difahamkan ada menerima seragam sukan terpakai daripada rakan sekelas," katanya.
Chee Leong berkata, sumbangan peribadi itu juga bagi membolehkan kesemua murid itu dapat membeli buku latihan.
"Dengan bantuan yang tidak seberapa itu diharap dapat memberi semangat dan motivasi kepada murid Orang Asli untuk belajar bersungguh-sungguh.
"Selain memberikan semangat dan motivasi, kita mahu mereka tahu kerajaan negeri mengambil berat kebajikan Orang Asli," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!