Utamakan i-Citra untuk orang hilang kerja

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengeluaran i-Citra menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajar diberi keutamaan kepada golongan yang hilang punca pendapatan ataupun hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Pakar Kewangan Pengguna yang juga Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, golongan tersebut tidak bekerja dan mahu menggunakan wang berkenaan bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.

“Yang hilang punca pendapatan, anggaran saya sekitar 50 peratus hingga 70 peratus.

“Jadi, mereka ini perlu diberi keutamaan untuk memohon pengeluaran i-Citra sebanyak RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan.

“Bagaimanapun, selepas mengambil kira mereka yang hilang pekerjaan, golongan seterusnya adalah kepada B40 dan M40.

“Ini kerana ada juga antara mereka tersepit, yang mahu menggunakan wang untuk menampung keperluan harian ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan umum pelaksanaan i-Citra

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, di bawah kemudahan i-Citra KWSP, hampir 12.6 juta pencarum boleh membuat pengeluaran sebanyak RM5,000 dengan kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan untuk tempoh lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan mereka.

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli

Muhyiddin berkata, pelaksanaan i-Citra itu juga dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohamad Fazli berkata, bantuan yang diberikan itu merupakan impak yang sangat besar kepada golongan yang betul-betul terdesak.

“Walaupun memang betul wang KWSP sepatutnya disimpan untuk persaraan tetapi dalam fasa-fasa kritikal sekarang, ia akan sangat membantu mereka yang tersepit, lebih-lebih lagi buat mereka yang berada dalam keadaan tertekan ekoran pandemik Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menasihati orang ramai supaya berbelanja secara berhemah dengan mengutamakan keperluan berbanding kehendak agar masing-masing dapat bertahan untuk jangka masa panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!