Isteri tidak bekerja ada hak ke atas harta sepencarian

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bila sebut soal harta sepencarian, yakni pencarian bersama, ramai yang memahami ertinya adalah harta yang dicari semasa pasangan itu masih dalam ikatan suami isteri.

Dalam hal ini, biarpun hanya si suami yang mencari harta, isteri yang tidak bekerja juga punya hak dalam tuntutan harta terbabit sekiranya terlerai ikatan perkahwinan sama ada menerusi perceraian atau berlakunya kematian.

Cuma yang ingin dibangkitkan, tidak ramai wanita atau suri rumah di luar sana sedar akan hakikat ini.

Tidak ramai juga yang mahu bangkit untuk menuntut hak mereka sedangkan mereka sebenarnya mempunyai hak untuk mendapat sebahagian harta sama ada alih atau tidak alih.

Mengupas perkara ini, Peguam Syarie Khairul Fahmi Ramli berkata definisi harta sepencarian adalah harta yang diperoleh bersama oleh suami dan isteri dalam tempoh perkahwinan mereka.

Harta berkenaan juga adalah daripada usaha bersama antara suami isteri termasuk pendapatan yang didapati daripada modal antara suami dan isteri sepanjang mereka kekal sebagai suami isteri.

"Isteri yang tidak bekerja boleh dan mempunyai hak untuk menuntut harta sepencarian berdasarkan sumbangan tidak langsung. Sumbangan tidak langsung yang dimaksudkan merujuk kepada sumbangan isteri dalam menguruskan keluarga dan anak-anak sepanjang suami keluar bekerja.

"Skop pengurusan keluarga ini merangkumi sumbangan isteri dalam menjaga harta suami serta memberikan sokongan serta dorongan kepada suami untuk berjaya dalam kerjayanya. Oleh itu, sumbangan dari isteri yang tidak bekerja adalah pengurusan keluarga yang telah memudahkan urusan suami untuk keluar bekerja," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Tidak tampil tuntut hak

Biarpun zaman semakin moden, masih ada isteri yang rela menelan pahit serta akur dengan ketentuan takdir apabila runtuhnya rumah tangga yang dibina atau bertukarnya status kepada janda atau balu akibat kematian suami.

Mengulas lanjut Khairul Fahmi berkata, antara faktor wanita tidak bekerja tidak tampil ke hadapan untuk menuntut hak dalam harta sepencarian adalah kerana mereka tidak mempunyai ilmu dan pengetahuan tentang hak wanita yang diceraikan atau kematian suami.

"Wanita dalam dua kategori tersebut adalah layak untuk menuntut harta sepencarian malah untuk kategori kedua iaitu kematian suami, tuntutan harta sepencarian perlu didahului sebelum harta dibahagikan melalui kaedah faraid atau pembahagian harta pusaka.

"Wanita yang tidak menuntut hak harta sepencarian juga kebiasaannya malas untuk bergaduh dengan bekas suami dan keluarga bekas suami bagi menuntut hak kerana takut digelar kaki kikis," katanya, sambil menambah, tuntutan harta sepencarian adalah dalam keadaan suami isteri tersebut dalam perselisihan faham atau dalam keadaan suami telah tiada.

Oleh itu, kata beliau kebanyakan wanita yang tidak menuntut hak harta sepencarian adalah kerana mereka mahu mengelakkan pergaduhan dengan bekas suami atau keluarga bekas suami.

Khairul Fahmi yang juga Timbalan Setiausaha Persatuan Peguam Syarie Malaysia Kedah berkata, selain itu faktor kekangan seseorang wanita untuk menuntut hak mereka adalah disebabkan mereka tidak berkemampuan untuk menampung kos guaman bagi melantik peguam untuk menguruskan tuntutan harta sepencarian tersebut.

"Kebiasaannya nilai harta yang hendak dituntut sebagai harta sepencarian juga tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kos menfailkan kes di mahkamah dan kos lantikan peguam.

"Tuntutan harta sepencarian sememangnya mengambil masa yang lama kerana prosedur kes yang panjang di mahkamah di samping lambakan kes di mahkamah menyebabkan kes akan berjalan selama berbulan malah boleh mencecah setahun atau lebih untuk mendapatkan perintah tersebut," katanya.

Menurut peguam syarie itu juga, kos bagi tuntutan harta sepencarian sememangnya tinggi. Ini, kata beliau, kerana harta tersebut perlu melalui proses penilaian untuk mengetahui nilai semasa harta tersebut selain mahkamah perlu mengambil kira sumbangan pihak bagi pembahagian harta tersebut.

"Oleh itu, kos bagi pengurusan tuntutan harta sepencarian sememangnya tinggi memandangkan peguam perlu membuktikan dari pelbagai sudut untuk menentukan kelayakan bagi tuntutan tersebut," jelas beliau yang juga mempunyai firma guaman sendiri iaitu Tetuan Khairul Fahmi.

Kurang pengetahuan

Menurut pengamal undang-undang, Mohammad Amir Asyraf Abd Mutalib dari Tetuan Shazril Khairy Mustafa & Associates, sesetengah isteri hanya tahu bahawa mereka perlu taat kepada suaminya semata-mata tanpa perlu mengetahui hak jika berlaku penceraian atau kematian.

"Perkara ini dapat dilihat kerana kurangnya pendedahan ilmu rumah tangga antara suami dan isteri serta pengetahuan berkaitan hal isu Mahkamah Syariah.

Semua pasangan inginkan kebahagian hingga ke syurga tetapi jodoh itu ketentuan Tuhan, jika tidak bercerai mungkin berlaku kematian.

"Kurang pendedahan media berkenaan hak seorang isteri selepas diceraikan adalah salah satu faktor yang menyebabkan isteri tidak sedar akan haknya selepas berlaku perceraian mahupun kematian," katanya.

Mohammad Amir Asyraf berkata, faktor lain juga adalah disebabkan kurangnya sifat keinginan dan ambil tahu berkaitan hak isteri dan lebih kepada pendirian asalkan hidup bahagia bersama suami.

"Akan tetapi bila berlaku perceraian atau kematian, baru mereka merasakan bahawa adanya hak yang boleh dituntut untuk menjamin kehidupan seterusnya. Faktor kawasan dan tempat tinggal itu sendiri boleh menjadikan satu faktor kenapa wanita tidak tahu dan ambil tahu berkenaan hak-hak mereka selepas perceraian atau berlaku kematian," katanya.

Beliau berkata, faktor kemiskinan atau tiada harta antara pasangan juga antara penyebab seseorang wanita hanya pasrah dan tidak menuntut apa-apa selepas berlakunya perceraian atau kematian.

Selain itu Mohammad Amir Asyraf berkata, faktor lain yang menyebabkan ramai wanita yang tidak bekerja tidak tampil ke hadapan untuk menuntut hak mereka selepas tidak lagi bergelar isteri sama ada diceraikan atau sebab kematian suami adalah disebabkan masalah kewangan.

"Faktor utama disini adalah dari segi kewangan. Menuntut hak di mahkamah memerlukan kos walaupun tidak melantik peguam apatah lagi melantik peguam dalam menguruskan tuntutan harta sepencarian ini.

"Faktor yang lain adalah tidak mengambil kisah berkenaan haknya dan tidak mempedulikan harta tersebut mungkin tidak mahu berbalah dengan keluarga si mati jika melibatkan kematian atau tidak mahu berbalah dengan bekas suami jika melibatkan perceraian," tambahnya.

Beliau berkata, faktor lain juga adalah takat sumbangan yang si isteri sumbangkan terhadap harta tersebut.

"Mungkin dia menganggap bahawa dia tidak ada apa-apa sumbangan terhadap harta tersebut yang menyebabkan dia merasa dia tidak layak menuntut harta tersebut sedangkan harta sepencarian ini dinilai takat sumbangannya secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Beliau turut berkongsi satu kes yang melibatkan seorang wanita yang menuntut harta sepencarian arwah suami.

Waris yang tinggal adalah anak-anak daripada hasil perkahwinannya dengan arwah suaminya itu dan juga anak-anak hasil perkahwinan arwah suaminya dengan bekas isteri yang sebelumnya.

Yang dituntut adalah sebahagian daripada sebuah rumah milik arwah suaminya.

Dalam kes berkenaan, si isteri layak dan sabit keputusan mendapat hak separuh (1/2) daripada rumah berkenaan dan separuh (1/2) lagi bahagian difaraidkan kepada setiap ahli waris arwah suami.

Ambil tahu hak

Mengulas lanjut, Mohammad Amir Asyraf berkata seseorang isteri itu perlu tahu hak mereka, sama ada jika diceraikan atau berlaku kematian suami.

"Hak isteri selepas diceraikan cukup banyak untuk dituntut apatah lagi jika diceraikan tanpa sebab. Wanita perlu tahu haknya terutama dalam kes harta sepencarian sama ada sumbangan secara langsung atau tidak langsung kepada harta tersebut.

"Sumbangan langsung ini boleh diringkaskan seperti membeli harta tersebut bersama dengan suaminya, mengeluarkan modal bersama dan ada sumbangan amaun tertentu bagi menjaga dan memelihara harta tersebut.

"Sumbangan tidak langsung pula adalah seperti si isteri menjaga harta tersebut umpamanya rumah iaitu mengemas, mencuci rumah, menjaga keselamatan dan kebersihan rumah itu pun boleh dianggap sebagai takat sumbangan secara tidak langsung.

"Ini menunjukkan bahawa hak mereka sebagai isteri itu ada walaupun takat sumbangan secara tidak langsung. Ambil maklum dan cakna apa hak-hak anda sebagai seorang isteri atau balu," katanya.

Nasihat Mohammad Amir Asyraf lagi, wanita yang mempunyai masalah berkaitan sebarang tuntutan hak di mahkamah syariah terutama hak harta sepencarian boleh berjumpa dengan mana-mana peguam syarie yang bertauliah bagi membantu dari segi khidmat nasihat dan bantuan menuntut hak di dalam mahkamah.

"Para wanita boleh juga berjumpa dengan Jabatan Bantuan Guaman bagi yang tidak mampu membayar khidmat guaman swasta akan tetapi masih dikenakan bayaran mahupun bantuan guaman kerajaan.

"Mereka boleh terus menghubungi atau berjumpa peguam syarie yang bertauliah di mana-mana saluran mahupun di pejabat peguam tersebut," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!