486 meninggal dunia ketika suhu panas di British Columbia
VANCOUVER - Sekurang-kurangnya 486 orang meninggal dunia sejak lebih lima hari lalu selepas British Columbia di Kanada dilanda gelombang panas, kata perkhidmatan koroner di wilayah
berkenaan pada Rabu.
Ketua Koroner British Columbia, Lisa Lapointe dalam satu kenyataan berkata, bahawa bilangan yang meninggal dunia itu adalah berdasarkan kepada pengiraan kematian dari Jumaat minggu
lalu sehingga Rabu.
Menurut portal berita BBC, Lapointe dilaporkan menyatakan bahawa beliau percaya cuaca terlalu panas adalah punca yang menyebabkan kematian tersebut.
Beliau berkata, ramai orang yang meninggal dunia itu didapati tinggal seorang diri di kediaman yang memiliki suhu panas.
Sebelum ini suhu setinggi 49.5 darjah Celsius dicatatakan di kampung Lytton di wilayah British Columbia iaitu tiga jam perjalanan dari bandar raya Vancouver pada Selasa lalu.
Ia merupakan rekod baharu suhu panas di negara tersebut.
Dalam pada itu, seorang pegawai polis, Sarjan Steve Addison berkata, cuaca terlalu panas itu tidak pernah dirasai oleh penduduk sebelum ini dan beliau sedih kerana ramai yang meninggal dunia akibat suhu tinggi.
Menurut AFP, sekolah-sekolah di bandar raya Vancouver dibatalkan ekoran cuaca panas itu yang berlaku buat pertama kali manakala anggota-anggota bomba menggunakan hos air untuk
menyejukkan badan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!