Cubaan seludup 14,150 kilogram beras dari India tumpas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Cubaan menyeludup 14,150 kilogram beras dari India ke negara ini gagal apabila dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur), awal bulan lepas.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zazuli Johan berkata, beras yang dianggarkan bernilai RM113,200 dengan jumlah cukai sebanyak RM45,280 itu dirampas pada 3 Jun di sebuah kontena di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang.

"Modus operandi kes ini ialah dengan membuat pengikraran tidak benar ke atas pengimportan beras dari India dengan mengikrarnya sebagai 'Indian grocery' bagi mengelak daripada mengemukakan lesen import semasa pengimportan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zazuli, JKDM telah berjaya mengesan pihak yang disyaki terlibat dalam kes itu dan seorang lelaki tempatan telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM500,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua duanya, jika sabit kesalahan.

"Hasil siasatan mendapati, kesemua beras yang disita diimport dari luar negara tanpa lesen import yang sah dan tanpa membayar cukai dan duti ke atasnya. Beras diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 5, Jadual Kedua, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!