Pelan pembangunan PD akan diubah suai: Anwar
PORT DICKSON - Pelan Pembangunan Port Dickson akan mengalami sedikit pengubahsuaian ekoran terdapat beberapa projek besar yang baharu membabitkan sektor pelancongan dan infrastruktur.
Ahli Parlimennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu sudah dipersetujui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Menteri Besar, Exco dan Yang Dipertua (Majlis Perbandaran Port Dickson) akan memberikan ruang sepenuhnya untuk diberikan input walaupun dah hampir tamat (untuk dimuktamadkan)," katanya selepas sambutan perayaan Ponggal 2019 peringkat Parlimen Port Dickson di Bandar Springhill, hari ini.
Pelan Induk Port Dickson adalah sebuah program pembangunan komprehensif bagi menangani pelbagai permasalahan berkaitan isu alam sekitar dan setempat di kawasan Parlimen itu yang mengadunkan pelan pembangunan secara holistik, mesra alam dan mampan.
Dalam perkembangan lain, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, calon bagi PRK DUN Rantau akan dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.
Mahkamah Persekutuan pada 18 Februari lalu menolak rayuan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban pada 16 November lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau di kerusi DUN Rantau sebagai tidak sah dan terbatal.
Terdahulu, Anwar meluangkan masa kira-kira setengah jam beramah mesra dengan 50 masyarakat India pada majlis itu di Bandar Springhill, Lukut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!