Cadangan kibar bendera putih tidak wajar: Mufti Pulau Pinang
GEORGETOWN- Cadangan mengibarkan bendera putih sebagai usaha menzahirkan kesusahan hidup yang dihadapi akibat terjejas pendapatan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menagih bantuan dilihat sebagai satu tindakan tidak wajar.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, pihaknya tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia mencerminkan sikap berputus asa dan mengalah terhadap situasi yang dihadapi.
Menurutnya, mereka terutamanya umat Islam dilarang untuk berputus asa serta cepat mengalah kepada kesusahan hidup.
"Mereka yang diuji dengan kesusahan khususnya orang Islam perlu faham dan tahu bahawa Islam melarang untuk bersikap berputus asa dan mudah mengalah kepada kesusahan dan kesempitan hidup.
"Orang yang mudah mengalah kepada kesusahan dan berputus asa dalam menghadapi ujian hidup menunjukkan kelemahan iman dan tiada keyakinan kepada rahmat ALLAH SWT," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, masih banyak cara lain untuk mendapat bantuan bagi mengatasi kepayahan hidup golongan yang terjejas pendapatan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
"Saya berpendapat, banyak lagi cara lain untuk mendapatkan bantuan antaranya yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.
"Selain itu, ia (bantuan) juga boleh didapati daripada badan dan agensi tertentu antaranya pusat pengurusan zakat setiap negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat swasta dan sumbangan individu,” katanya.
Beliau turut memohon pihak berwajib meningkatkan lagi usaha intensif dan agresif dalam membantu mengatasi kemelut ekonomi yang dihadapi golongan yang terjejas.
"Saya merayu GLC dan syarikat-syarikat swasta menunaikan tanggungjawab sosial masing-masing dan turut serta menyumbang dengan lumayan bagi meringankan keperitan hidup golongan terjejas.
"Selain itu, wakil rakyat di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu memainkan peranan sebagai penghubung di antara golongan yang memerlukan bantuan dengan pihak yang boleh menyumbang.
“Ini kerana berkemungkinan mereka yang terjejas itu tidak tahu cara atau kaedah untuk memohon bantuan daripada pihak yang sepatutnya. Di kesempatan ini, saya ingin mengajak seluruh umat Islam memperbanyakkan doa dan munajat supaya pandemik Covid-19 segera berakhir," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!