102 calon STPM 2020 Johor dapat PNGK 4.00

Mazlan Bujang
Mazlan Bujang
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 102 calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di Johor mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan yang diumumkan pada Khamis.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, jumlah itu meningkat 0.09 peratus berbanding 114 orang calon (2.3 peratus) yang mendapat keputusan sama dalam peperiksaan STPM 2019.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 87 calon yang mendapat PNGK 4.00 adalah dari aliran Sastera dan 15 calon dari aliran Sains dengan 59 daripadanya adalah calon perempuan serta 43 lelaki.

"PNGK Johor bagi STPM 2020 ialah 2.89 iaitu meningkat sebanyak 0.02 mata berbanding pencapaian STPM 2019 dengan 2.87 mata dan PNGK peringkat nasional bagi tahun 2020 adalah 2.78.

"Daripada segi kelulusan peringkat prinsipal bagi tahun 2020, peratus calon yang lulus penuh 1 hingga 5 mata pelajaran adalah 99.55 peratus dengan 64 daripada 75 sekolah (85.33 peratus) mencapai kelulusan penuh 100 peratus.

"Seramai 178 calon lulus penuh lima mata pelajaran, 3,148 calon lulus penuh empat mata pelajaran, 545 calon lulus penuh tiga mata pelajaran, 249 calon lulus penuh dua mata pelajaran dan 120 calon lulus penuh satu mata pelajaran," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, dua calon mendapat keputusan terbaik iaitu Tio Guo Yong dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, Kota Tinggi dan Intan Nurhidayah Lim dari SMK Dato' Sulaiman, Batu Pahat.

Selain itu, katanya, beberapa sekolah turut menghasilkan ramai calon terbaik dalam STPM 2020 iaitu Kolej Tingkatan Enam Pontian, Pontian; SMK Taman Johor Jaya (1), Pasir Gudang; SMK Tinggi Batu Pahat, Batu Pahat; SMK Sultan Ibrahim, Kulai; SMK Tun Dr. Ismail, Muar dan SMK Tasek Utara, Johor Bahru.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan kepada prestasi calon mengikut mata pelajaran pula, 18 daripada 20 mata pelajaran yang diambil oleh calon negeri Johor telah mencatat keputusan melebihi 80 peratus lulus penuh.

"Mata pelajaran Sains Sukan adalah mata pelajaran yang mencapai peratus lulus penuh tertinggi dengan 99.29 peratus," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!