29,132 OKU di Terengganu akan divaksin
KUALA TERENGGANU - Data seramai 29,132 orang kurang upaya (OKU) di seluruh negeri kini sedang diproses bagi membolehkan golongan itu diberikan keutamaan mendapatkan suntikan vaksin.
Pengarah kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, senarai nama penerima vaksin daripada kumpulan itu akan diserapkan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam sedia ada di setiap daerah bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin terhadap mereka.
"Berdasarkan data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, terdapat 29,132 OKU pelbagai yang berdaftar dan akan diberikan keutamaan untuk proses vaksinasi.
"Kita percaya dengan pertambahan dos vaksin pada Julai ini, proses vaksinasi terhadap rakyat Terengganu terutama golongan OKU akan lebih cepat dan lancar," katanya ketika ditemui pemberita di PPV Pusat Dagangan Terengganu (TTC) pada Khamis.
Seramai 200 OKU dari daerah Kuala Terengganu telah divaksin di PPV tersebut pada Khamis terdiri daripada 75 OKU daripada Persatuan Orang Pekak Terengganu, 77 OKU dari Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), 12 atlet Paralimpik serta 23 orang OKU pelbagai.
Dalam pada itu, Nor Azimi berkata, sehingga kini 7.1 peratus daripada 1.259 juta rakyat negeri ini telah divaksin dan jumlah itu dijangka bertambah bermula Julai dengan pertambahan dos vaksin yang diterima.
"Dengan pertambahan dos vaksin ini Terengganu dijangka bergerak ke fasa kedua Sekatan Pergerakan Penuh (PKP) 3.0 dengan lebih cepat.
"Walaupun selepas ini berjaya ke fasa kedua, kita amat berharap supaya pematuhan SOP dikekalkan dan diamalkan dengan baik oleh rakyat Terengganu selagi pandemik ini belum benar- benar berakhir," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Pekak Terengganu, Tengku Arman Haris Tengku Ismail berkata, terdapat 658 OKU masalah pendengaran berdaftar dengan persatuan itu setakat ini.
Katanya, daripada jumlah itu kira-kira 100 orang masih belum menyatakan persetujuan untuk mendapatkan vaksin.
"Hampir 85 peratus ahli bersetuju mendapatkan vaksin dan proses pendaftarannya sedang giat dijalankan ketika ini.
"Proses penyampaian maklumat kepada mereka dilakukan menerusi pesanan WhatsApp dan perjumpaan secara dalam talian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!