Rumah terbakar, bomba selamat tujuh mangsa
RAWANG - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan tujuh mangsa termasuk dua kanak-kanak dalam satu kebakaran di Pangsapuri Casa Ria di sini pada Khamis.
Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zaidi Ahtan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran di tingkat empat pangsapuri tersebut pada jam 12.35 tengah hari.
Menurutnya, seramai 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dan Batu Arang kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian yang tiba kira-kira untuk 10 minit kemudian.
"Kebakaran melibatkan apartmen di tingkat empat yang terbakar 20 peratus di bahagian ruang tamu. Empat orang mangsa berjaya diselamatkan.
"Kami turut membawa keluar seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bersama kanak-kanak berusia enam dan tujuh tahun dari sebuah rumah berhadapan yang dimasuki asap tebal.
"Semua mangsa dalam keadaan selamat, hanya mengalami trauma. Seorang lelaki dewasa yang mengalami sesak nafas telah pulih sepenuhnya setelah menerima rawatan di lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!