Tiga syarikat ubah suai lima feri ikonik Pulau Pinang
GEORGETOWN - Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) pada Khamis menyerahkan lima buah feri ikonik Pulau Pinang kepada tiga syarikat yang berkelayakan untuk diubahsuai.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, lima buah feri terbabit ialah Feri Talang-Talang, Feri Pulau Payar, Feri Pulau Undan, Feri Pulau Kapas dan Feri Pulau Pinang.
Menurutnya, Syarikat Printhero Merchandise yang berpengalaman mengendalikan kedai cenderamata di Stesen Bawah Bukit Bendera, Muzium Negara dan Muzium Perak akan mengubahsuai Feri Pulau Pinang menjadi muzium terapung.
"Muzium ini bakal mempunyai pameran bergambar, visual, kedai cenderamata, kafe dan tempat fotografi manakala Syarikat Chuen Shin Aquaculture Sdn Bhd pula memperoleh hak mengubahsuai Feri Pulau Kapas dan Feri Pulau Payar kepada restoran terapung.
"Kedua-dua feri akan ditempatkan berhampiran Pulau Jerejak. Syarikat ini memiliki banyak sangkar ternakan ikan di sekitar Pulau Jerejak selain mengendali beberapa restoran makanan laut serta mempunyai pengetahuan maritim," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambah Teik Cheng, Syarikat Kantan Jaya memperoleh hak untuk mengubahsuai Feri Pulau Undan dan Pulau Talang-Talang kepada feri pelancongan.
"Feri pelancongan akan berlabuh di Swettenham Pier dan hanya membawa penumpang tanpa kenderaan selain dilengkapi restoran, bilik persidangan, ruang menjual produk tempatan dan restoran untuk jamuan serta perkahwinan.
"Syarikat Kantan Jaya mempunyai pengalaman selama 40 tahun dalam bidang perkapalan dan berupaya menyelenggara feri," katanya.
Beliau berkata, feri tersebut perlu dinilai oleh Jabatan Laut sebelum dibenarkan berlayar.
"Oleh kerana kedua-dua feri tersebut sudah uzur dan tidak dapat berlayar lama seperti biasa, kita percaya syarikat yang berpengalaman diperlukan untuk menetapkan dan menjadualkan waktu operasi.
"Hanya Feri Pulau Talang-Talang dan Feri Pulau Undan yang dapat belayar. Tiga yang lain tidak dapat diperbaiki lagi dan telah diberhentikan operasi pada akhir tahun 2019," katanya.
SPPP sebelum itu membuka tender Permintaan Untuk Cadangan (RFP) berhubung penyerahan lima buah feri ikonik bermula 29 Januari hingga 18 Mac lalu.
SPPP dan syarikat yang berjaya akan menandatangani kontrak untuk tempoh selama 10 tahun dengan opsyen disambung selama lima tahun lagi.
Pada 15 Disember tahun lalu, SPPP mengumumkan perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar akan dihentikan bermula 1 Januari tahun ini yang mana, feri sedia ada hanya untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.
Ini bermakna, kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya.
Sementara itu, bermula 1 Januari tahun ini hingga Jun 2022, penggunaan feri laju dan feri sedia ada merupakan langkah interim sebelum empat katamaran yang akan dijadikan teksi air dan kenderaan pengangkut digunakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!