Guangdong bebas Covid-19 lapan hari berturut-turut
BEIJING - Tiada kes jangkitan Covid-19 dilaporkan di wilayah Guangdong, selatan China untuk lapan hari berturut-turut, lapor suruhanjaya kesihatan tempatan pada Rabu.
Menurut suruhanjaya itu, sejumlah 129 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital atau bebas kuarantin, sekali gus menjadikan angka pesakit menurun kepada 61 orang.
Penularan wabak Covid-19 dikesan di bandar Guangzhou, Shenzhen dan Dongguan, wilayah Guangdong sejak 21 Mei.
Selepas melakukan ujian asid nukleik (NAT) terhadap semua penduduk di ketiga-tiga bandar itu, pihak berkuasa tempatan turut menjalankan beberapa pusingan saringan menyasarkan golongan tertentu bermula 22 hingga 29 Jun.
Hasil ujian saringan itu mendapati, tiada sebarang kes positif sekali gus menyaksikan wabak di kawasan komuniti tempatan berjaya dibendung.
Usaha melawan wabak di Guangdong pada gelombang kali ini cukup mencabar susulan kemunculan varian Delta dan Alpha.
Justeru, kejayaan di Guangdong kali ini membantu menambah lagi pengalaman menangani penularan Covid-19 termasuk mengesan kes jangkitan dan melaksanakan langkah pencegahan dengan cepat, pantas serta berkesan. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!