Rehda bantu daftar warga emas melalui 'google form'

Samsuri (dua dari kanan) menyantuni penduduk yang menerima vaksin di Klinik Gual Ipoh, Tanah Merah pada Khamis.
Samsuri (dua dari kanan) menyantuni penduduk yang menerima vaksin di Klinik Gual Ipoh, Tanah Merah pada Khamis.
A
A
A

TANAH MERAH - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyediakan inisiatif pengisian maklumat melalui 'google form' melibatkan kumpulan warga emas yang tinggal di kawasan pedalaman untuk mendaftar vaksinasi Covid-19.

Timbalan Pengerusi Rehda Kelantan, Datuk Samsuri Awang Mat berkata, inisiatif tersebut dilakukan pihaknya melalui RehdaCare sebagai sebahagian daripada khidmat masyarakat dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Menurutnya, alamat 'google form' berkenaan disediakan untuk memudahkan kumpulan warga emas bagi membuat pendaftaran vaksinasi mereka memandangkan mereka berdepan pelbagai kekangan terutamanya pendaftaran dalam talian.

"Warga emas kadang-kadang tiada telefon mudah alih yang canggih, mereka pun tidak pandai untuk buat pendaftaran sendiri. Jadi kita buat alamat 'google form' ini untuk beri kepada keluarga mereka.

"Anak-anak mereka mungkin berada di Kuala Lumpur dan sebagainya, maka mereka boleh isi dan serahkan kepada kita untuk kita maklum kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau hadir meninjau Program Outreach Covid-19 di Klinik Kesihatan Gual Ipoh, di sini. Hadir sama, Pegawai Kesihatan Daerah Tanah Merah, Dr Ahmad Faris Awang.

Mengulas lanjut, Samsuri yang juga Pengerusi RehdaCare Negeri memberitahu, 95 peratus daripada penduduk yang hadir menerima vaksinasi di Klinik Gual Ipoh berkenaan adalah hasil kerjasama yang dilaksanakan RehdaCare melalui inisiatif berkenaan.

"Sebelum ini, pihak KKM kena telefon setiap seorang untuk memastikan mereka hadir dan mahu divaksin. Berlainan pula dengan pendekatan kami, senarai yang kami berikan itu memang sudah ditapis, iaitu betul-betul mahu dan layak menerima vaksinasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Itu sahaja cara yang dapat kami bantu kerajaan bagi memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada menerima vaksin masing-masing, terutamanya golongan warga emas.

"Kita ambil masa sebulan bagi memastikan senarai kita ini cukup 'kemas' tanpa sebarang masalah yang boleh menyusahkan pihak KKM," katanya.

Sementara itu, Samsuri juga memberitahu, pihaknya turut bekerjasama dengan Pertubuhan Tiong Hwa Kelantan untuk pelaksanaan Program Outreach di Dewan Perniagaan Cina di Kota Bharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!