11 lokaliti di Sabah, Pahang, Melaka dan Perak dikenakan PKPD

Sebelas lokaliti di Sabah, Pahang, Melaka dan Perak dikenakan PKPD bermula Sabtu hingga 16 Julai depan. - Foto Bernama
Sebelas lokaliti di Sabah, Pahang, Melaka dan Perak dikenakan PKPD bermula Sabtu hingga 16 Julai depan. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - 11 lokaliti di Sabah, Pahang, Melaka dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Sabtu ini hingga 16 Julai depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh lokaliti di Sabah melibatkan Kampung Mangga, Nasip Kita; Kampung Kijang, Balung; Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu; Kampung Lingkodon, Kota Belud; Kampung Pintas Kubu, Beaufort; Kampung Muhibbah, Putatan dan Kampung Goshen, Kota Marudu.

Dua lokaliti di Perak membabitkan kilang Latexx Manufacturing Sdn Bhd dan asrama pekerja Latexx Village, Taiping serta asrama pekerja kilang Latexx 3, Jalan IKA, Industri Kamunting Aman, Kamunting.

Menurutnya, satu lokaliti dikenakan PKPD masing-masing di mukim Kuala Kuantan 1, Kuantan, Pahang dan Taman Mewah, Kelemak, Alor Gajah, Melaka.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan dan menyekat pergerakan serta penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD di dua lokaliti dilanjutkan melibatkan sembilan rumah panjang Sungai Rassau, Batang Igan, Mukah, Sarawak serta asrama pekerja warga asing dan kawasan kilang Wah Cens Plastic Industries & Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat, Johor.

Jelasnya lagi, PKPD di Taman Sri Purnama, Mukim Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan ditamatkan pada 2 Julai.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 549 individu ditahan, 535 dikompaun dan 14 direman bagi kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

“Seramai 95 individu gagal merekod butiran diri masuk premis, tiada penjarakan fizikal (98), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (100), tidak memakai pelitup muka (87), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (94), membawa penumpang berlebihan (42), premis gagal patuhi arahan (14) dan lain-lain (19),” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!