AS turunkan Malaysia ke tahap terburuk kes pemerdagangan manusia
KUALA LUMPUR - Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) akan menurunkan Malaysia ke tahap terburuk dalam laporan tahunannya mengenai pemerdagangan manusia yang akan dikeluarkan pada Khamis.
Penurunan itu berikutan aduan oleh kumpulan hak asasi dan pihak berkuasa AS berhubung dakwaan penganiayaan pekerja asing di ladang dan kilang.
Sumber dipetik Reuters yang enggan dinamakan berkata, Malaysia akan jatuh ke Tahap 3, selepas tiga tahun berada di Tahap 2 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia tahun ini.
Jabatan Negara AS meletakkan negara-negara di Tahap 3 kerana tidak mematuhi piawaian minimum menghapuskan pemerdagangan manusia atau berusaha untuk mematuhinya.
Tahap 3 ini mungkin akan mempengaruhi akses Malaysia untuk menerima beberapa bantuan AS.
Kementerian Dalam Negeri tidak memberi ulasan mengenai laporan tersebut.
Malaysia menempatkan kira-kira dua juta pekerja asing berdokumen, manakala jumlah pendatang asing tanpa dokumen dikatakan jauh lebih tinggi.
Malah, Malaysia mempunyai lebih dari 170,000 pelarian berdaftar dan pencari suaka, kebanyakan mereka adalah Rohingya dari Myanmar.
Tahun lalu, AS telah mengenakan larangan import ke atas tiga syarikat Malaysia, Top Glove Corp Bhd, Sime Darby Plantation dan FGV Holdings atas dakwaan menggunakan khidmat buruh paksa.
Pada April, Top Glove yang juga pembuat sarung tangan getah terkemuka berkata, mereka sudah memperbaiki lima petunjuk buruh paksa sementara menunggu pengesahan oleh firma perunding perdagangan beretika yang berpangkalan di United Kingdom (UK), Impactt.
Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menetapkan 11 petunjuk bagi amalan terbaik.
Impactt mengesahkan Top Glove, pembuat sarung tangan terbesar dunia sudah mencapai enam A dan lima B.
Lima B itu perlu diubah kepada lima A untuk CBP AS menarik balik Perintah Tahanan Pelepasan (WRO) yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS.
Sementara itu, Sime Darby dan FGV dilaporkan berkata, mereka telah melantik juruaudit untuk menilai amalan mereka dan akan terlibat dengan CBP untuk mengatasi masalah tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!