Penghantar makanan maut dirempuh lori

Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut berada di lokasi membantu mangsa.
Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut berada di lokasi membantu mangsa.
A
A
A

PENAMPANG - Seorang penghantar makanan yang juga anggota Sukarelawan Simpanan Polis maut selepas dirempuh sebuah lori di Jalan Papar Lama di sini pada Khamis.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 33 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mangsa dipercayai dalam perjalanan menghantar makanan sebelum dirempuh sebuah lori yang terbabas dari jalan bertentangan secara tiba-tiba.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu lori yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas di tengah pembahagi jalan dan terus memasuki laluan bertentangan.

"Akibat kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal terus dirempuh sebelum terseret beberapa meter sehingga masuk ke dalam parit di tepi jalan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Haris berkata, pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu yang hadir di lokasi kejadian mengesahkan mangsa maut, manakala pemandu lori pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Haris menasihatkan orang awam supaya tidak tularkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Ia bukan sahaja boleh mengganggu siasatan tetapi juga untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa," katanya.

Sementara itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang turut berada di lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!