Awas, jangan terjerat dengan kad kredit ketika PKP
KETIKA orang ramai sibuk bercerita mengenai moratorium dan i-Citra untuk membantu kewangan mereka, lain pula situasi yang dihadapi Merak Jalanan.
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu, Merak Jalanan sering mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada sebuah bank yang menawarkan pendahuluan wang tunai menerusi kad kredit.
Bukan setakat itu sahaja, Merak Jalanan pernah menerima panggilan telefon daripada pihak bank atau mungkin ejen dilantik menawarkan tawaran sama.
Merak Jalanan percaya orang lain juga pernah menghadapi situasi sedemikian.
Pada mulanya Merak Jalanan bersangka baik, mungkin pihak bank membuat tawaran itu sebagai usaha membantu orang ramai yang menghadapi masalah kewangan.
Namun, Merak Jalanan menyifatkan tawaran itu bukanlah cara meringankan beban rakyat dalam kesempitan, lebih-lebih lagi kadar faedahnya agak tinggi.
Mungkin ada antara mereka seperti peniaga yang terdesak dan akhirnya menerima tawaran tersebut tanpa berfikir panjang. Tanpa mereka sedari, mereka telah menjerat diri sendiri dengan komitmen ansuran bulanan yang tinggi.
Pada masa yang sama, Merak Jalanan terfikir bagaimana mereka yang sebenarnya masih mampu dan tidak memerlukan membuat pinjaman, namun disebabkan terpengaruh dengan wang ditawarkan, akhirnya terjerat dengan hutang.
Jadi, Merak Jalanan nasihatkan orang ramai yang pernah menerima tawaran seperti itu supaya berfikirlah dengan semasak-masaknya sebelum membuat keputusan.
Pihak bank pun janganlah ambil kesempatan terhadap kesusahan orang ramai.
Merak Jalanan tahu pihak bank berbuat demikian untuk kelangsungan perniagaan tetapi adalah lebih baik mereka membantu memudahkan orang ramai yang menghadapi masalah untuk membayar pinjaman daripada 'meracun’ pelanggan dengan 'umpan’ wang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!