Penggiat industri perkahwinan lumpuh, hidup dalam tekanan
KUALA LUMPUR - Beberapa usahawan dalam industri perkahwinan berhadapan gulung tikar berikutan perniagaan mereka yang semakin merudum selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 pada Mac tahun lalu.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur mendapati ramai yang mengalami tekanan hidup luar biasa apabila punca rezeki mereka selama ini lumpuh dan tidak dapat beroperasi seperti biasa.
Seorang perunding perkahwinan, Sharifah Rohaidah Syed Azlan Shah, 35, yang berkecimpung dalam industri pengurusan acara formal dan perkahwinan selama lima tahun mengakui mengalami kerugian kira-kira RM4 juta.
"Jumlah itu termasuk bayaran sewa dua dewan, bil utiliti, gaji pekerja dan pemulangan wang kepada pelanggan sejak tahun lalu.
"Biasanya saya menguruskan sebanyak 20 acara perkahwinan dan mampu menjana pendapatan sebanyak RM3 juta setahun, kini kami kerugian hampir RM2 juta apabila majlis perkahwinan terpaksa dibatalkan,” katanya.
Menurut Sharifah, bagi meneruskan kelangsungan perniagaannya, dia terpaksa beralih kepada perniagaan penghantaran jambangan bunga dan dekorasi hadiah secara dalam talian.
Bagaimanapun, pendapatan yang diperoleh tidak memberangsangkan sehingga ada beberapa pekerja terpaksa ditamatkan perkhidmatan kerana tidak mampu membayar gaji bulanan pekerja serta dewan.
“Buat masa ini kami banyak menggunakan wang simpanan namun jika keadaan mendesak, mungkin saya terpaksa membuat pinjaman bank," katanya.
Justeru, usahawan itu merayu kerajaan supaya memberi peluang bagi membolehkan mereka yang terlibat dalam industri itu dapat meneruskan perniagaan bagi membantu mereka untuk terus bertahan.
Seorang pemilik butik busana pengantin di Cheras, Mimi Azlinda Othman, 44, terpaksa menutup butiknya akibat tidak mampu membayar sewa bulanan premis.
Mimi Azlnda yang sudah berkecimpung dalam industri itu sejak 12 tahun lalu berkata, dia dan beberapa rakan lain yang menceburi sektor perniagaan terpaksa gulung tikar dan menukar kerjaya demi meneruskan kehidupan.
Menurutnya, keputusan menutup butik itu selepas mengalami kerugian sebanyak RM20,000 sejak tahun lalu membabitkan pembayaran sewa butik, bil utiliti dan pemulangan wang kepada pelanggan yang membatalkan tempahan busana perkahwinan.
“Hampir setahun lebih saya menggunakan wang simpanan untuk menanggung segala perbelanjaan bagi memastikan bisnes mampu bertahan.
“Tapi dengan kenaikan kes harian Covid-19 sekarang, saya membuat keputusan menutup butik pada Jun lalu ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh,” katanya.
Di Kuala Lumpur keluhan sama turut dirasai penggiat industri itu yang terjejas teruk akibat penutupan operasi berkenaan.
Seorang jurufoto perkahwinan, Ahmad Syukri Samsuri, 34, berkata, industri itu yang suatu ketika mendapat permintaan luar biasa kini melalui 'saat tenat' apabila negara dilanda wabak Covid-19.
"Jika sebelum pandemik saya menerima banyak tempahan pelanggan terutama pada musim cuti persekolahan atau hujung minggu tetapi kini tiada lagi pelanggan," katanya yang berniaga sejak 14 tahun lalu.
Katanya, kehilangan mata pencarian mengundang tekanan emosi sehingga dia pernah berfikir di luar kewarasan.
"Di saat ini, seluruh jiwa saya rasa kosong dan tertekan, semangat saya jatuh merudum hingga pernah terfikir tidak sanggup untuk meneruskan hidup. Tapi syukur saya masih mendapat sokongan moral daripada rakan yang banyak memberikan kata-kata semangat," katanya.
Berkongsi mengenai kesan pelaksanaan PKP, Ahmad Syukri berkata, sumber kewangannya terjejas teruk apabila berdepan komitmen kewangan setiap bulan.
“Dugaan saya semakin memuncak apabila tidak mampu membayar sewa rumah, kereta dan komitmen lain dan terpaksa berniaga pakaian menerusi media sosial meskipun jualan tidak memberangsangkan," ujarnya.
Seorang pengacara majlis, Mohamed Tarmizi Mohamed Affandi, 34, turut menyuarakan keluhannya apabila kehilangan pendapatan mencecah RM4,000 hingga RM5,000 sebulan sejak pelaksanaan PKP.
Lebih menyedihkan, Mohamed Tarmizi berkata, dia terpaksa menyediakan wang pendahuluan kepada pelanggan yang telah dibayar sebelum ini untuk menggunakan perkhidmatannya.
"Saya buntu apabila kerajaan melaksanakan PKP malah semuawang deposit terpaksa dipulangkan kepada pelanggan," katanya.
Bapa dua anak itu memberitahu, dia dan isterinya terpaksa berusaha mencari pendapatan lain dengan cara menjual pakaian kanak-kanak dan makanan sejuk beku demi kelangsungan hidup.
"Alhamdulillah, hasil pendapatan ini saya akhirnya dapat memulangkan wang deposit kepada pelanggan mencecah ribuan ringgit.
“Pendapatan dari kerja pengacara majlis memang 100 peratus hilang, isteri pula sedang sarat mengandung anak ketiga," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!