Erdogan kecam al-Sisi
ANKARA - TURKI. Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan lantang mengkritik rakan sejawatannya dari Mesir, Abdel Fattah al-Sisi selepas sembilan dihukum mati di negara itu.
"Mereka membunuh sembilan orang baru-baru ini. Ia sememangnya tidak boleh diterima
"Sudah tentu ia adalah keputusan badan kehakiman, namun semua itu tidak masuk akal. Terdapat sistem autoritarian malah totalitarian," kata Erdogan menerusi wawancara bersama saluran CNN-Turk dan Kanal D merujuk kepada hukuman mati yang dijalankan ke atas sembilan lelaki yang disabit bersalah kerana membunuh peguam negara pada 2015.
Jelasnya, beliau kini menjawab persoalan banyak pihak kenapa Erdogan enggan bercakap dengan al-Sisi."Saya enggan bercakap dengan orang sepertinya," ujarnya lagi.
Hubungan antara Turki dan Mesir hampir tidak wujud sejak tentera dipimpin al-Sisi menggulingkan bekas presiden, Mohammed Mursi yang merupakan sekutu rapat kepada Erdogan pada 2013.
Pemimpin itu turut menggesa pembebasan tahanan gerakan Ikhwanul Muslimin.
"Pertama sekali, al-Sisi perlu bebaskan kesemua tahanan itu dengan memberi pengampunan umum. Selagi mereka tidak dibebaskan, kami tidak akan bercakap dengan al-Sisi," tambahnya.
Erdogan juga mengecam negara Barat yang berdiam diri terhadap hukuman mati yang dijalankan di Mesir.
"Di mana negara Barat?Ada anda dengar suara mereka? Mereka akan bersuara lantang jika ia berlaku di Turki," katanya dalam nada sindiran. Difahamkan, Amnesty International turut menyelar hukuman itu yang menggunakan tindakan penyeksaan untuk memaksa tertuduh membuat pengakuan. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!