'Suara' pemain industri aeroangkasa, segerakan pembangunan LTSAAS

LTSAAS menjadi kontroversi baru-baru ini berikutan terdapat ura-ura mengenai lapangan terbang itu akan dijual dan diswastakan.
LTSAAS menjadi kontroversi baru-baru ini berikutan terdapat ura-ura mengenai lapangan terbang itu akan dijual dan diswastakan.
A
A
A

[MUKADIMAH] Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) walaupun bukan lagi hab penerbangan nombor satu Malaysia, namun masih kekal sebagai aset paling strategik yang memberikan pendapatan berbilion ringgit kepada negara setiap tahun.

Pada 7 Mei lalu, kerajaan dilaporkan terbuka menerima cadangan mana-mana pihak bagi tujuan mengembangkan aset, namun belum ada sebarang keputusan dibuat oleh kabinet.

Bagaimanapun, ia membawa kepada spekulasi bahawa kerajaan mahu menjual atau memajak hartanah LTSAAS kepada pihak swasta.

Isu penswastaan lapangan terbang itu bagaikan‘pisang goreng panas’ apabila ia mendapat respon daripada pelbagai pihak.

Kementerian Kewangan akhirnya mengesahkan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kekal sebagai pihak yang bertanggungjawab membangunkan aset LTSAAS sehingga tahun 2067.

Persoalannya kini, bagaimanakah status pelan pembangunan di bawah MAHB itu dan bagaimana kontroversi tersebut memberi kesan kepada LTSAAS?

Wartawan Sinar Harian, Nurul Nabila Ahmad Halimy, menyingkap pelan pembangunan semula atau lebih dikenali sebagai Pelan Regenerasi LTSAAS dengan Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor.

Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor menegaskan Pelan Regenasi perlu digesa kerana memberi impak yang besar terhadap pelabur aeroangkasa.
Presiden Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA), Naguib Mohd Nor menegaskan Pelan Regenasi perlu digesa kerana memberi impak yang besar terhadap pelabur aeroangkasa.

Artikel Berkaitan:

SINAR HARIAN: Pada 7 Mei lalu, kerajaan dilaporkan terbuka menerima cadangan oleh mana-mana pihak bagi tujuan mengembangkan aset, namun belum ada sebarang keputusan dibuat oleh kabinet. Adakah cadangan itu akan memberi kesan kepada pelabur industri aeroangkasa?

NAGUIB MOHD NOR: Semestinya ia memberi kesan kepada pelabur kerana industri aeroangkasa adalah industri yang berpandangan jauh di mana kesemua rancangan adalah pelan jangka panjang.

Apabila dalam jangka masa itu wujudnya perkara-perkara yang merosakkan atau mengganggu pelan yang telah ditetapkan, proses membuat keputusan juga akan terjejas.

Mungkin ada banyak perkara atau rancangan lapangan terbang Subang yang tidak bersesuaian dengan pelan-pelan yang sudah sedia ada daripada pelabur-pelabur industri.

Oleh itu, tidak ada masalah jika ada syarikat ingin menswastakan LTSAAS dengan mempunyai pelan jangka masa panjang dan meneruskan pelan sedia ada. Namun, adakah perkara tersebut akan berlaku? Ini lah persoalan dan kebimbangan yang masih menjadi tanda tanya sehingga kini.

Adakah pihak MAIA bersetuju dengan tindakan pengerusi MAHB, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menggesa kerajaan supaya membatalkan hasrat menswastakan LTSAAS?

Yang penting kepada industri aeroangkasa ketika ini adalah pelan regenerasi yang sudah dirangka atau hasil yang menjurus dan memberi kesan kepada pelan induk aeroangkasa itu.

Kesan atau hasil yang hendak dicapai haruslah diteruskan oleh kerana pelabur-pelabur yang ada di situ sudah merancang pelaburan mereka mengikut pelan yang sudah dirangka.

Oleh itu, jika ada yang menswastakannya dan tidak mengikut pelan lalu membuat pelan lain, ia agak menyukarkan ramai pihak.

Jadi sebagai industri aeroangkasa, bukan tempat kita untuk mengatakan siapa yang patut bertanggungjawab dengan pelan itu sama ada swasta atau kerajaan namun isunya kita perlu mempercepatkan pelan tersebut.

Apabila berlaku persoalan begini, banyak daripada pelan pelaburan syarikat yang sudah ada atau mahu melabur ke dalam lapangan terbang Subang akan tergendala.

Bolehkah tuan menjelaskan secara terperinci apakah Pelan Regenasi LTSAAS yang telah dirangka?

Pelan itu secara keseluruhannya untuk membangunkan lapangan terbang Subang sebagai dua perkara.

Satu, hab aeroangkasa dari segi pembuatan dan penyelenggaraan. Kedua, hab penerbangan ‘business airline’ seperti Air Asia atau Malaysia Airlines (MAS).

Dalam pelan tersebut, ia akan menaiktaraf beberapa perkara dan membina fasiliti untuk industri pembuatan dan penyelenggaraan.

Ia sudah siap dirangka, namun saya masih belum mendapat data secara terperinci. Ada 46 ekar kawasan kosong di sekitar kawasan lapangan terbang Subang yang akan dibangunkan untuk tujuan pembuatan dan penyelenggaraan.

Bagaimanakah pelan itu dapat membantu mengekalkan LTSAAS sebagai aset strategik negara?

Pelan ini mempunyai ‘timeline’ tertentu di mana jangkaan ‘air traffic’ atau jumlah penerbangan untuk penambahan mempunyai kerangka tertentu untuk jangka masa di mana penerbangan-penerbangan dari Subang akan meningkat.

Dalam masa yang sama, untuk memenuhkan kawasan industri dengan pemain-pemain aeroangkasa dari segi pembuatan dan penyelenggaraan pesawat.

Apakah perbezaan dan tujuan Pelan Regenasi LTSAAS dengan Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) serta Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030?

Subang adalah kawasan strategik dalam industri aeroangkasa Malaysia yang terangkum dalam ‘Malaysia Aerospace Blueprint’. Ia adalah pelan industri secara menyeluruh iaitu pembuatan dan penyelenggaraan pesawat yang mempunyai nilai 'revenue' sebanyak RM16.4 bilion setahun sebelum Covid-19.

Semua pelan di bawah pelan industri adalah tanggungjawab kementerian seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang mempunyai motif yang sama.

Sesi dialog dan lawatan kerja pemain Industri Aeroangkasa bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Julai 2020.
Sesi dialog dan lawatan kerja pemain Industri Aeroangkasa bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Julai 2020.

Ia antara komponen-komponen untuk dicapai pada tahun 2030 untuk industri aeroangkasa Malaysia dan nilai pendapatan industri adalah RM55.2 bilion.

Adakah MAIA bersetuju sekiranya LTSAAS diswastakan atau diambil alih oleh mana-mana pihak? Dan adakah ia akan menyebabkan kesan buruk dan kerugian yang banyak seperti dakwaan Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airports Semenanjung (Kesma) iaitu kerugian RM11.9 billion?

Dari segi operasi lapangan terbang mungkin boleh menyebabkan kerugian sebanyak itu, namun ia tidak akan memberi kesan kepada industri pembuatan dan penyelenggaraan kerana ia merupakan industri yang berbeza. Kebimbangan industri ini adalah lebih kepada pelan yang tidak menjadi.

Jadi ia lebih kepada tidak berkembang berbanding rugi di mana motif pelan regenasi adalah untuk memperkembangkan lagi dan meningkatkan pendapatan semua syarikat, baik penerbangan atau pembuatan dan penyelenggaraan di Subang.

Selain itu, masalah yang mungkin berlaku adalah apabila pelabur asing membuat pelan jangka masa panjang dan jika pelan mereka dikacau, mereka akan bertukar fikiran.

Jika itu berlaku, tentunya akan ada kerugian terhadap Malaysia.

Oleh itu, pelan regenerasi ini perlu disegerakan.

Apakah tindakan terbaik untuk memastikan LTSAAS kekal sebagai hab aeroangkasa antarabangsa?

Tindakan terbaik adalah untuk meneruskan pelan-pelan yang sudah dirangka itu oleh pihak bertanggungjawab. Masalah dalam jangka masa terdekat ini adalah tidak ada keputusan dibuat. Semakin lama keputusan tidak dibuat, ia akan memberi kesan kepada industri kerana industri ini berterusan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!