Polis siasat video pekerja, pelajar bersesak ambil bungkusan

Tangkap layar video tular memaparkan pelajar pada mulanya mengikut SOP dengan berbaris mengambil bungkusan diedarkan syarikat kurier namun keadaan kemudian menjadi tidak terkawal.
Tangkap layar video tular memaparkan pelajar pada mulanya mengikut SOP dengan berbaris mengambil bungkusan diedarkan syarikat kurier namun keadaan kemudian menjadi tidak terkawal.
A
A
A

PARIT - [DIKEMASKINI] Polis sedang mengenal pasti pelajar dan pekerja sebuah syarikat kurier penghantaran kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan berkumpul dalam keadaan tidak terkawal sepertimana video tular pada Rabu.

Kejadian sekitar jam 7 malam di hadapan sebuah universiti tempatan di sini tular di laman Twitter memperlihatkan sekumpulan individu sedang berkumpul beramai-ramai bagi mengambil bungkusan yang diedarkan syarikat berkenaan tanpa mematuhi SOP.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, siasatan dijalankan selepas menerima laporan kejadian itu daripada seorang individu sekitar jam 6 petang Khamis.

Menurutnya, hasil semakan mendapati, video berdurasi enam saat itu dikongsi oleh seorang pemilik akaun Twitter yang meminta polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan ke atas perkara tersebut.

"Menerusi video itu didapati, transaksi penyerahan barang itu berlaku di luar pagar berhampiran pintu utama universiti berkenaan.

"Pada awalnya pelajar yang hadir mengikuti SOP dengan berbaris, namun kemudiannya keadaan menjadi tidak terkawal dan dikerumuni pelajar," katanya.

Beliau berkata, rakaman asal video terbabit yang dimuat naik oleh seorang lagi pemilik akaun Twitter telah dipadam selepas mendapat lebih 32,000 tontonan.

Katanya, dalam muat naik itu, individu berkenaan menulis 'macam ni ke buat kerja? dah lah hantar depan main gate (pintu utama) je, then (kemudian) suruh students (pelajar) cari sendiri?.

Artikel Berkaitan:

"Polis difahamkan kejadian ini berlaku di luar pengetahuan pengurusan universiti berkenaan dan kita akan mengenal pasti mereka yang terlibat dalam video terbabit.

"Siasatan lanjut dibuat mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan), serta Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 SKMM 1998," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!