Tiada ugutan, hanya diminta turunkan bendera putih pada tiang elektrik

Laporan Sinar Harian pada Khamis berhubung kejadian terbabit.
Laporan Sinar Harian pada Khamis berhubung kejadian terbabit.
A
A
A

KUANTAN - Tiada sebarang ugutan dilakukan terhadap penduduk berhubung isu pemasangan bendera putih di Bukit Setongkol sebagaimana yang didakwa sesetengah pihak.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, penduduk hanya diminta menurunkan bendera tersebut kerana dipasang pada tiang elektrik.

Menurutnya, pihak polis tiada halangan untuk bendera putih dikibarkan kerana tidak ada dalam mana-mana peruntukan yang menyatakan perbuatan itu salah atau melanggar undang-undang setakat ini.

"Tidak ada halangan daripada pihak polis sebenarnya dan saya telah mengarahkan supaya tidak ada sebarang tindakan dibuat sekiranya bendera putih ini dikibarkan di tempat-tempat sepatutnya," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk dakwa diugut turunkan bendera putih

Ramli berkata, tindakan hanya akan diambil sekiranya pemasangan bendera akan menyebabkan halangan lalulintas dan sebagainya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) Bukit Setongkol, Kamaluddin Ahad berkata, penduduk hanya diberi nasihat dan meminta bendera putih itu diturunkan kerana ia dipasang pada tempat yang tidak sesuai.

Menurutnya, bendera tersebut dipasang kira-kira 50 hingga 60 meter dari rumah dan di tempat awam sekali gus akan memberi makna yang kurang tepat serta boleh menimbulkan persepsi negatif kepada umum.

"Jadi kami minta mereka turunkan dan tidak berlaku ugutan sebagaimana didakwa," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kamaluddin berkata, dia sendiri hadir bersama ahli jawatankuasa JKKK dan pihak polis untuk memberi sumbangan.

"Saya dan pihak polis minta butiran mereka yang terlibat untuk disalur bantuan sewajarnya.

"Mungkin timbul salah faham penduduk dan ia diambil kesempatan pihak tertentu untuk sebarkan cerita tidak benar," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!