Maqis Selangor rampas daging kerbau sejuk beku dari India
KLANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor menahan sebuah kontena yang membawa daging kerbau sejuk beku seberat 28,008 kilogram, di sini pada Selasa.
Pengarahnya, Zamri Hashim berkata, kontena itu ditahan di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat selepas pegawainya menjalankan pemeriksaan rutin harian pada jam 12.15 tengahari.
"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kontena tersebut mendapati seberat 28 tan daging kerbau sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM290,786.06 ditahan kerana gagal mengemukakan Permit Import Maqis yang sah," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Katanya, perbuatan mengimport daging sejuk beku tanpa Permit Import akan disiasat mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3), akta yang sama dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.
"Kita tidak akan berkompromi apabila melibatkan aspek halal kerana ini adalah perkara yang paling dititikberatkan oleh masyarakat Malaysia.
"Maqis menasihati dan berharap semua pemain industri pengimportan dan pengeksportan sentiasa mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan agar jaminan keselamatan makanan negara terpelihara dari setiap aspek terutamanya aspek halal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!