MPKK perlu hadiri kursus induksi
Rina dan Mukhriz bergambar bersama ahli MPKK yang terlibat dalam kursus induksi, hari ini.
A
A
A
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kursus induksi itu dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bertujuan untuk melatih kepimpinan MPKK yang baru selepas selesai semua urusan perlantikan kerajaan negeri.
Menurutnya, modul yang disediakan bagi latihan itu merangkumi subjek persediaan asas bertujuan mempersiapkan MPKK dengan ilmu dan kemahiran, bersesuaian dengan tugas mereka untuk mengurus kampung masing-masing termasuk anggota masyarakat.
"Saya yakin MPKK yang dilantik adalah ahli-ahli baru yang tidak pernah terdedah dan belum begitu jelas apa tugas yang sepatutnya dilakukan.
"Sebab itu latihan asas seperti kursus induksi ini sangatlah penting untuk dihadiri bagi melengkapkan MPKK dengan kemahiran urus tadbir di peringkat kampung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bersama Pemimpin sempena Kursus Induksi MPKK negeri Kedah yang turut dihadiri Menter Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Dewan Wawasan di sini, hari ini.
Rina berkata, selain itu, MPKK turut dilatih untuk menyediakan data dan maklumat kampung atau profiling kampung bagi tujuan perancangan masa hadapan.
"Kementerian berharap profil kampung ini dapat dilengkapkan dan sentiasa dikemaskini dari semasa ke semasa supaya ia menjadi satu sumber data yang tepat dan sah untuk merancang projek dan program pembangunan luar bandar.
"KPLB menyediakan dua platform maklumat profil kampung iaitu melalui Sistem Profil Kampung Peringkat Nasional (SPKPN) yang mengandungi maklumat terperinci kampung dan Sistem iDesa iaitu aplikasi telefon pintar melalui Android atau IOS," katanya.
Menurutnya, sebagai langkah membantu kampung melaksanakan aktiviti sama ada projek fizikal atau bukan fizikal, kementerian turut menyediakan geran kepada MPKK secara tahunan.
"Jumlah maksima geran yang boleh dimohon adalah sebanyak RM10,000 setahun tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
"Ini adalah pendekatan baru kerajaan untuk membantu MPKK menjalankan aktiviti kampung dengan lebih tersusun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!