Kempen kibar bendera putih 'sedarkan' pemimpin: ABIM

Noni Umpik, 57, mengibarkan bendera putih di rumah sewanya dengan harapan ada insan yang boleh membantu menghulurkan bantuan, di Jalan Foochow. - Foto Bernama
Noni Umpik, 57, mengibarkan bendera putih di rumah sewanya dengan harapan ada insan yang boleh membantu menghulurkan bantuan, di Jalan Foochow. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif mengibarkan bendera putih sebagai langkah alternatif meminta bantuan merupakan manifestasi suara rakyat yang melangkaui kepentingan politik kepartian.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ia merupakan fenomena baharu yang menunjukkan kebersamaan rakyat untuk membantu antara satu sama lain tanpa perlu menunggu inisiatif daripada kerajaan.

Menurut beliau, inisiatif tersebut juga seharusnya menyedarkan kepimpinan negara terhadap keadaan rakyat yang ketika ini sudah berada di tahap yang kritikal.

“Ini dapat dilihat menerusi beberapa insiden yang menyedihkan termasuklah kes bunuh diri yang semakin meningkat.

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertarikh 1 Julai 2021, secara keseluruhan statistik bunuh diri di Malaysia telah menjangkau angka 1,000 dari tahun 2019 hingga Mei 2021 serta menyaksikan purata kes bunuh diri dua kali sehari.

“Begitu juga dengan laporan daripada Sekretariat Majlis Tindakan Ekonomi (AEC) menyatakan lebih 600,000 isi rumah daripada golongan berpendapatan pertengahan tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 dan ia memberi gambaran kesengsaraan rakyat yang semakin menebal,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Isnin lalu, kempen mengajak orang ramai mengibar bendera berwarna putih mula tular melalui pelbagai platform media sosial.

Artikel Berkaitan:

Saranan mengibarkan bendera putih itu disyorkan kepada mereka yang menghadapi kesusahan dan memerlukan pertolongan terutamanya dalam berdepan cabaran musim pandemik.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, semua pihak perlu menghormati hak rakyat untuk mengibarkan bendera putih sebagai alternatif bagi menampung kelangsungan hidup diri dan keluarga mereka yang terjejas.

“ABIM juga menyatakan bahawa semua pihak harus menghormati hak rakyat untuk mengibarkan bendera putih sebagai cara yang ada untuk menampung kelangsungan hidup diri dan keluarga.

“Maka, pihak kerajaan tidak seharusnya menghalang inisiatif murni rakyat untuk membantu rakyat yang lain khususnya menerusi pelbagai tafsiran politik yang menyimpang.

"Tindakan seperti ini bakal menzahirkan kemarahan rakyat yang memang sudah semakin tertekan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!