Tekad Yarmolenko tundukkan England
ENGLAND perlu berwaspada dengan kemampuan yang bakal dipamerkan pemain sayap Ukraine, Andriy Yarmolenko dalam aksi suku akhir Euro di Stadium Olimpico, Rome pada awal pagi Ahad.
Rakan sepasukan Yarmolenko, Ruslan Malinovskyi berkata, pemain West Ham United itu mahu membuktikan kemampuannya kepada penyokong England dan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dia kurang mendapat tempat bersama The Hammers itu pada musim lalu.
"Yarmolenko tidak bermain banyak perlawanan musim lepas. Dia mengalami kecederaan dan sedikit tidak bertuah selain kita semua tahu bahawa dia mempunyai banyak kualiti dan personaliti yang bagus.
"Dia benar-benar bermotivasi dan saya fikir bulan lalu ketika dia tidak bermain banyak untuk kelabnya, dia berfikir tentang perkara tersebut dan bersedia untuk melakukan yang terbaik di Euro.
"Dia menunjukkan kualitinya dalam perlawanan terakhir dan merupakan seorang kapten yang sebenar membawa pasukan serta bermotivasi untuk bermain menentang England.
"Dia bermain di England dan menentang pasukan kebangsaan England akan menjadi peluang untuknya menunjukkan bahawa dia layak bermain di EPL," katanya.
Karier Yarmolenko bersama West Ham musim lalu kurang memuaskan selepas dia hanya melakukan 15 penampilan selain gagal mencetak sebarang gol selepas mengalami kecederaan lutut selain dijangkiti Covid-19 pada November tahun lalu.
Namun, aksi pemain berusia 31 tahun itu bersama Ukraine cukup cemerlang dengan meledak dua gol sepanjang kempen Euro sekali gus membantu pasukan itu mara ke peringkat suku akhir.
Dalam pada itu, Malinovskyi percaya Ukraine akan mendapat sokongan tambahan daripada peminat yang berada di Itali walaupun penyokong pasukan itu tidak dibenarkan memasuki negara tersebut ekoran larangan Covid-19.
"Ramai rakyat Ukraine yang tinggal di Itali dan saya yakin mereka akan datang untuk memberikan sokongan kepada kami," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!