PKPD Selangor, KL: Ayam di Pasar Harian Selayang habis dijual
KUALA LUMPUR - Jualan ayam di Pasar Harian Selayang, di sini habis lebih awal berbanding hari biasa selepas diserbu orang awam yang keluar membeli stok barang basah sebagai persediaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor dan Kuala Lumpur berkuat kuasa pada Sabtu.
Seorang peniaga, Samsuri Jalil, 60, berkata, sekitar jam 9 pagi, ayam di semua kedai dalam Pasar Harian Selayang sudah habis terjual.
Menurutnya, walaupun tahu pelaksanaan PKPD itu, namun dia tidak menyangka orang ramai akan menyerbu pasar untuk pembelian stok.
"Saya tak terfikir nak sedia stok lebih untuk PKPD ini sebab pasar buka seperti biasa sepanjang tempoh pelaksanaan perintah itu. Jadi, saya jual 50 ekor ayam seperti biasa.
"Agak terkejut sebab pasar sibuk pada hari ini, biasanya Sabtu dan Ahad yang ramai orang. Kalau hari biasa jualan habis jam 12 tengah hari, tetapi hari ini habis awal. Bukan hanya kedai saya tapi seluruh pasar," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Seorang lagi peniaga ayam, Goh Su Chui, 52, turut mengakui jualan ayam pada hari tersebut habis awal.
"Saya ambil tempahan daripada pelanggan tetap dan ada sediakan sedikit stok untuk pelanggan yang 'walk-in', semuanya habis dalam masa singkat.
"Esok mungkin kurangkan jualan kepada 20 ekor ayam sahaja disebabkan hari ini orang dah ramai keluar, esok mungkin dah tak sibuk.
"Lagipun orang luar Selayang seperti Kepong dan Rawang dah tak boleh datang ke pasar ini sebab radius untuk PKPD tak lebih 10 kilometer," katanya.
Pada masa sama, jualan barangan basah lain termasuk ikan dan makanan laut lain turut mencatatkan peningkatan jualan pada hari ini.
Seorang pekerja pasar, Fazli Sopi, 43, berkata, 70 peratus makanan laut di kedainya terjual berbanding hari biasa hanya 40 peratus.
"Dua tong sotong seberat 100 kilogram habis terjual dengan harga biasa. Memang menakjubkan, biasanya nak habiskan satu tong pun payah.
"Jam 3 pagi orang dah mula datang dan jam 9 pagi paling sibuk. Banyak yang cari ikan dan ayam. Ayam habis awal dan ikan juga banyak yang habis," katanya.
Seorang suri rumah, Norhayati Rabo, 51, berkata, dia habiskan sekitar RM100 membeli ikan dan barang basah lain untuk stok makanan dua minggu supaya tidak perlu keluar sepanjang dua minggu PKPD.
"Biasanya saya keluar dua kali seminggu untuk beli barang tapi sebab PKPD saya beli banyak terus kerana mahu duduk di rumah sepanjang PKPD.
"Saya duduk tujuh orang, jadi bekalan yang dibeli ini cukup untuk tempoh itu, jika habis awal baru akan keluar beli lain," katanya.
Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati jalan ke Pasar Harian di Selayang Baru sesak dipenuhi kenderaan dan keadaan sibuk berbanding biasa menjelang pelaksanaan PKPD bermula Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!