Pacak bendera putih terus dapat bantuan ADUN
KULAI - Tindakan sebuah keluarga mengibarkan bendera putih di tingkat atas rumah mereka di Taman Putri di sini pada Jumaat menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Jimmy Puah Wee Tse.
Wee Tse yang juga Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor berkata, perkara itu disedarinya ketika melalui Jalan Putri 6/11 taman tersebut pada jam 12.30 tengah hari.
Menurutnya, ketika lawatan di kediaman itu, beliau mengetahui bendera ini dinaikkan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Aiman Shah yang berumur 21 tahun pada pagi Jumaat.
"Dia tinggal bersama ibu dan tiga adik-beradik. Ayahnya meninggal dunia hujung tahun lepas. Keluarga mereka memang memerlukan bantuan segera," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau kemudian menyampaikan bantuan serta-merta kepada keluarga tersebut
"Saya berikrar akan memberi pertolongan secepat mungkin kepada penghuni rumah di kawasan saya yang menaikkan bendera putih," katanya.
Wee Tse juga berharap lebih banyak pihak tampil dan membantu keluarga yang mengibarkan bendera putih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!