PH gesa semua ahli Parlimen ke Dewan Rakyat 19 Julai ini

Anwar bersama Mohamad dan Guan Eng.
Anwar bersama Mohamad dan Guan Eng.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menggesa semua ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai ini sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak membuat sebarang pengumuman mengenai sidang Parlimen selewat-lewatnya Isnin depan.

Gesaan itu disuarakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kepada ahli Parlimen yang menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong serta menghormati semangat Perlembagaan mengikut prinsip demokrasi berparlimen.

Menurut mereka, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 29 Jun lalu menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh dan perlu bersidang.

Selain itu kata mereka, Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat mencadangkan kepada perdana menteri supaya satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021.

“Namun kami kesal bahawa sehingga hari ini perdana menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda.

“Sekiranya perdana menteri dan menteri-menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan.

“Sidang Parlimen yang perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini mesti membahaskan krisis pandemik Covid-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan

Negara seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ujar mereka, perbahasan sidang Parlimen dapat memastikan usaha berkesan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi serta kehidupan harian rakyat.

“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang telah membunuh diri dan ada yang telah mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat serta bukan isu politik,” kata kenyataan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!