'Lockdown' bukan kaedah utama kawal Covid-19
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pendekatan yang praktikal dan fleksibel sangat penting bagi memerangi pandemik Covid-19.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memetik kenyataan Utusan Khas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr David Nabarro yang mengatakan ‘lockdown’ tidak seharusnya menjadi kaedah utama mengawal wabak tersebut.
"WHO telah memberi amaran kepada ekonomi dunia berkenaan dengan ‘lockdown’ kerana kesannya yang teruk terhadap ekonomi khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.
"Pendekatan yang pragmatik dan fleksibel dalam menangani pandemik adalah kunci untuk membantu negara menghadapi cabaran ini," katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Pada Khamis, kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan selama dua minggu mulai bermula 3 Julai ini di sebahagian besar mukim di Selangor dan Kuala Lumpur bagi menurunkan kes Covid-19.
ARTIKEL BERKAITAN: Selangor, KL kena PKPD selama 14 hari
Mohamed Azmin turut menekankan mengenai komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat mencapai imuniti kelompok.
"Pada waktu yang sama, kerajaan tetap terus berusaha untuk mempercepat vaksinasi rakyat, terutama kepada kelompok yang paling rentan.
"Imuniti adalah jalan yang perlu diambil untuk bergerak ke hadapan," katanya di media sosial itu.
Dalam pada itu, menerusi ciapan balas di Twitternya kepada seorang pengguna di Twitter pada Khamis, Azmin menunjukkan sokongan beliau terhadap pandangan yang menyatakan kilang bukan merupakan punca kepada kes baharu Covid-19.
Seorang pengguna Twitter, @ravin_surandran pada Rabu menyatakan kebanyakan jangkitan Covid-19 bukan melibatkan kilang tetapi ia sebaliknya adalah kes sporadik yang tidak diketahui puncanya.
"Kita perlu dengan sebaik mungkin bersikap terbuka. Banyak orang tidak mendapatkan fakta mereka dengan betul. Kilang bukan masalahnya," ciap @ravin_surandran.
Azmin menerusi twitternya membalas ciapan tersebut dengan menulis,” tepat sekali.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!