Cubaan bawa masuk papan lapis Vietnam gagal

Penguat kuasa Maqis memeriksa papan lapis dari Vietnam yang ditahan di Pelabuhan Pasir Gudang pada Khamis.
Penguat kuasa Maqis memeriksa papan lapis dari Vietnam yang ditahan di Pelabuhan Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk papan lapis (plywood acacia) dari Vietnam yang tidak mematuhi syarat di Pelabuhan Pasir Gudang pada Khamis.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, pihaknya sebelum itu membuat pemeriksaan terhadap sebuah kontena pada jam 10 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh Pegawai Penguat kuasa Maqis mendapati, nombor rujukan permit untuk papan lapis itu tidak dicatatkan pada sijil fitosanitasi dari negara asal yang dikemukakan.

“Kesemua papan lapis sebanyak 85,120 kilogram yang dianggarkan bernilai RM108,471.53 berkenaan telah ditahan untuk tindakan lanjut.

“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat di dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) akta yang sama.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!