Kerajaan terima RM1.8 bilion bayaran pertama 1MDB
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, wang tersebut adalah sebahagian daripada penyelesaian berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut beliau, baki bayaran penyelesaian sebanyak RM1.03 bilion lagi akan dilunaskan oleh AMMB Holdings Berhad pada Disember 2021 dan Julai 2022, masing-masing sebanyak RM515 juta.
"Sehingga kini, Akaun Amanah berkenaan di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara telah menerima sebanyak RM18.176 bilion dana yang disita dan dipulangkan berkaitan 1MDB.
"Dana tersebut telah dan akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Setakat 30 Jun 2021, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/ keuntungan/ faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.66 bilion (1MDB) dan RM1.85 bilion (SRC).
Namun, jelasnya, baki semasa Akaun Amanah hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk tahun 2021 dan 2022 sahaja.
Tambahnya, setelah semua dana Akaun Amanah digunakan, kerajaan masih perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui Jaminan Kerajaan (Government Guarantee) dan Surat Sokongan (Letter of Support) semasa hutang-hutang ini diterbitkan.
Bagaimanapun, ujarnya, Kementerian Kewangan akan sentiasa memastikan peruntukan yang secukupnya bagi menyelesaikan hutang 1MDB dan SRC, untuk menguruskan beban kewangan skandal 1MDB dan SRC.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!