JPKK rayu gaji minimum pekerja pembersihan dinaikkan 100 peratus

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan memohon kerajaan menaikkan gaji minimum dan memulihkan semula gaji pekerja pembersihan kepada tahap 100 peratus. - Foto Bernama
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan memohon kerajaan menaikkan gaji minimum dan memulihkan semula gaji pekerja pembersihan kepada tahap 100 peratus. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) memohon kerajaan menaikkan gaji minimum dan memulihkan semula gaji pekerja pembersihan kepada tahap 100 peratus.

Penyelaras Nasionalnya, Sivaranjani Manickam berkata, bayaran gaji minimum sebanyak RM1,200 adalah tidak mencukupi terutamanya pada tahun 2021.

“Banyak cadangan yang meminta dinaikkan ke RM1,500 hingga RM1,800 walaupun realitinya jumlah tersebut masih tidak mencukupi.

“Ada juga kontraktor yang tidak diberi peruntukan untuk bayar gaji minimum pekerja dan hanya dibayar RM900 sahaja,” katanya dalam sidang media secara talian pada Jumaat.

Baru-baru ini media melaporkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengurangkan kapasiti pengoperasian kerja pembersihan di sekolah sebanyak 60 peratus menyebabkan kontraktor terpaksa memotong 40 peratus gaji pekerja.

Mengulas lanjut, Sivaranjani berkata, seramai 50,000 pekerja pembersihan di seluruh negara bakal terjejas berikutan pemotongan itu terutama semasa tempoh pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

“Gaji pekerja pembersihan hanya RM1,100 atau RM1,200 di paras gaji minimum bagi sebulan.

“Garis panduan KPM ini menyebabkan gaji mereka dikurangkan kepada RM600 hingga RM700 mulai bulan Jun 2021,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap agar KPM dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak menggariskan polisi yang bercanggah dan mengelirukan.

“KSM mengatakan dalam garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bahawa majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja, tetapi KPM pula telah melanggar polisi tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, beliau memohon agar pekerja pembersihan dan pengawal sekolah turut disertakan dalam proses vaksinasi seperti guru sekolah.

“Golongan ini juga dianggap sebagai petugas barisan hadapan kerana pekerja pembersihan berperanan penting dalam proses sanitasi sekolah daripada wabak Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, pekerja kontrak salah sebuah sekolah di negeri Kelantan, Syed Haizal berkata, pemotongan gaji tersebut telah menjejaskan kehidupannya sekeluarga.

“Sedangkan kami kalau hilang RM50 pun akan rasa terganggu untuk hidup. Saya sendiri ada tiga orang anak dan terpaksa catu barangan keperluan harian.

“Jadi saya minta JPKK tolong berbincang dengan persatuan kontrak Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) untuk bayar gaji minimum pekerja,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!