Sanggup beratur panjang demi sekampit beras
KUALA LUMPUR - Orang ramai sanggup beratur panjang demi mendapatkan bantuan sekampit beras dan satu plastik barangan makanan asas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul di sini pada Jumaat.
Difahamkan, agihan tersebut disumbangkan oleh seorang ahli perniagaan yang telah mempelawa orang ramai ke lokasi berkenaan untuk mendapatkan keperluan asas tersebut menerusi hebahan di media sosial Instagramnya.
Keadaan orang berhimpun dan bersesak saat Kuala Lumpur mencatatkan kes harian Covid-19 agak tinggi telah menimbulkan rasa kurang senang orang awam yang melihat situasi tersebut.
Seorang penghantar makanan, Hairi Osman, 39, berkata, seawal jam 12 tengah hari orang ramai mula beratur menunggu bantuan sampai yang dijadualkan diagihkan antara jam 2 hingga 4 petang.
Namun menurutnya, sehingga jam 3 petang sumbangan yang dinanti belum tiba menimbulkan kebimbangan wujudnya kluster di lokasi tersebut.
"Bagi bantuan tak salah cuma biarlah kena dengan caranya. Tak perlu nak berhimpun macam ini sepatutnya berurusan dengan ketua komuniti untuk agihkan kepada golongan sasar.
"Apabila buat secara terbuka macam ini, bukan orang Sentul saja yang datang, orang dari Setapak dan Kepong pun boleh datang. Sedangkan bantuan di mana-mana tempat pun ada," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Seorang lagi orang awam yang ditemui, Niza Yusof, 24, berharap supaya program sumbangan daripada badan-badan bukan kerajaan (NGO) mahupun penyumbang lain dipantau.
"Minta kalau boleh mana-mana yang nak beri sumbangan dalam skala besar ini diwajibkan dapat permit polis terlebih dahulu atau program dikawal oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
"Sekarang kes tengah tinggi dan kita sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sepatutnya duduk di rumah, apabila buat sumbangan terbuka macam ini seperti menggalakkan orang berkumpul di luar pula," katanya.
Difahamkan, hampir 300 bakul makanan disediakan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Bandar Baru Sentul bagi program tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!