Bendera putih: Pemuda PN kecam pihak tanam elemen benci kerajaan
SHAH ALAM - Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan pihak tertentu terutama parti pembangkang yang cuba mencemar objektif gerakan bendera putih dengan menanam elemen perpecahan dan kebencian kepada kerajaan.
Ketuanya, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, gerakan itu secara sukarela bagi mempermudah identifikasi dan penyampaian bantuan segera bagi individu dalam komuniti setempat yang ingin menolong antara satu sama lain.
“Pemuda PN di semua Parlimen akan terus menggerakkan sukarelawan untuk membantu menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, sama ada bendera putih diangkat atau tidak,” ujar beliau di Facebook pada Jumaat.
Dalam pada itu kata Khairil Nizam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertindak pantas menyalur peruntukan tambahan berjumlah RM66.6juta untuk bakul makanan bernilai RM300,000 kepada setiap Ahli Parlimen termasuk pembangkang.
Sehubungan itu, wakil rakyat diharap mengurus dana tersebut dengan telus bagi menyampaikan bantuan itu tanpa melalui agensi kerajaan.
“Rakyat juga dapat mohon segera pada wakil rakyat, selain agensi-agensi kerajaan sedia ada.
“Pemuda PN menyeru seluruh rakyat bersatu padu, berdoa, kuatkan semangat dan yakin bahawa kita semua dapat kembali menjalani kehidupan dan norma biasa kelak melalui Pelan Pemulihan Negara.
“Pemuda PN bersama anda dalam masa yang sukar ini,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!