MAIPs salur bantuan tambahan RM1.03 juta melalui masjid
KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.03 juta untuk diagihkan kepada 5,150 orang asnaf melalui masjid-masjid seluruh negeri.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, inisiatif itu bertujuan untuk membantu golongan yang masih memerlukan bantuan walaupun Perlis dijangka beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat ini.
“Kesusahan yang dihadapi rakyat pada masa kini harus diterima dan semua pihak perlu saling menyokong demi membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan khususnya golongan asnaf,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan MAIPs pada Jumaat.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, bantuan seumpama itu juga perlu diteruskan memandangkan bahawa rantaian ekonomi negara masih bergerak perlahan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dalam kenyataan sama berkata, sumbangan berkenaan adalah inisiatif tambahan MAIPs bagi meringankan beban mereka yang berkeperluan dengan penyaluran peruntukan sumbangan bantuan kecemasan melalui 103 Kariah Masjid di seluruh negeri ini.
“Individu yang layak menerima bantuan tersebut adalah terdiri daripada mereka yang tidak menerima ‘Bantuan Khas Covid-19 bagi PKP 3.0’ namun menghadapi situasi kecemasan untuk membeli makanan atau keperluan seperti barangan dapur basah, pembayaran utiliti dan sebagainya,” katanya.
Mohd Nazim berkata, individu yang terjejas hanya perlu ke masjid atau bertemu dengan amil atau Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid untuk menerima bantuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!