Rak khas bekal bantuan kepada golongan memerlukan

Mohd Khairuddin ketika menyusun barang-barang keperluan asas yang dibelinya pada rak khas iaitu Rak Amal pada Pelancaran Program Amal Kongsi Rezeki Bantu Asnaf dan Golongan Terkesan akibat COVID-19 di Legasi Sabasun HyperRuncit Kampung Baru, pada Jumaat.
Mohd Khairuddin ketika menyusun barang-barang keperluan asas yang dibelinya pada rak khas iaitu Rak Amal pada Pelancaran Program Amal Kongsi Rezeki Bantu Asnaf dan Golongan Terkesan akibat COVID-19 di Legasi Sabasun HyperRuncit Kampung Baru, pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bantuan bekalan makanan akan mula diagihkan ke 200 lokasi seluruh negara bagi membantu golongan asnaf dan mereka yang terkesan di bawah Program Amal Kongsi Rezeki, inisiatif Majlis Getah Malaysia (MRC) dan Yayasan Amal Malaysia (YAM).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, bekalan makanan berkenaan yang disumbang MRC dengan dana sebanyak RM260,000 akan diletakkan di Rak Amal Kongsi Rezeki YAM- MRC di lokasi-lokasi terpilih.

Beliau berkata, rak khas berkenaan akan diletakkan di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat, kedai-kedai runcit terpilih, koperasi-koperasi universiti dan kolej serta kawasan perumahan sebagai usaha menggalakkan orang ramai untuk turut menyumbang.

“Inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik, ia juga dapat membantu memperkasa dan mempertingkatkan ekonomi komuniti perniagaan peniaga runcit dalam penglibatan selaku pengantara dan juga penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan Legasi Sabasun HyperRuncit, Kampung Baru, di sini, lokasi pertama menempatkan rak khas berkenaan.

Mohd Khairuddin berharap program ini akan menjadi ikutan untuk diguna pakai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan yang terkesan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!