Kios bantuan ekspres agih makanan di masjid, surau

Ismail (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penduduk di PPR Seri Rejang di sini pada Jumaat.
Ismail (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan kepada penduduk di PPR Seri Rejang di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM) merancang menyediakan sebanyak sembilan gerobok rezeki di masjid dan surau Jumaat sekitar ibu negara.

Yang Dipertuanya, Ismail Abdul Haiyee berkata, inisiatif dikenali sebagai kios bantuan ekspres itu akan mengagihkan barangan keperluan di empat masjid dan lima surau dalam waktu terdekat.

Menurutnya, program itu diharap dapat membantu mereka terputus bekalan makanan terutama golongan miskin bandar yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Kita menyediakan barangan keperluan bagi membolehkan mana-mana individu atau keluarga yang kurang berkemampuan mendapatkan bekalan makanan di masjid atau surau di sekitar Kuala Lumpur.

"Mereka yang terdesak boleh singgah di masjid bagi mendapatkan barangan makanan bagi memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Barangan Keperluan Makanan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Rejang di sini pada Jumaat.

Seramai 200 penduduk di kawasan itu menerima sumbangan daripada DPMUM yang diserahkan Ismail kepada wakil penduduk.

Mengulas mengenai program itu, Ismail berkata, program menyantuni penduduk tersebut merupakan siri kelima penganjurannya sejak negara dilanda wabak Covid-19 pada Mac tahun lalu.

Kata beliau, pihaknya menyasarkan sebanyak 1,000 penerima akan dibantu pada siri keenam yang akan dilaksanakan dalam waktu terdekat.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah melaksanakan lima siri penyerahan sumbangan dan ia berjaya mencapai sasaran ditetapkan untuk membantu mereka yang terkesan akibat PKP.

"Antara sumbangan yang diserahkan kepada penerima seperti beras, bihun, mi segera, kopi dan sardin," katanya.

Tambah beliau, pihaknya berharap lebih banyak pihak korporat terlibat sama dalam program bantuan seperti itu pada masa akan datang.

"Sebelum ini, kami mengutip dana dalam kalangan ahli sahaja, namun kita juga mengalukan kerjasama dengan pihak korporat sekiranya ingin turut sama menyumbang.

"Alhamdulillah, kami telah menguar-uarkan kempen ini di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk mengumpul dana bagi tujuan tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!