SOP kemasukan ke Sarawak diperketat

DOUGLAS UGGAH EMBAS
DOUGLAS UGGAH EMBAS
A
A
A

KUCHING - Keputusan untuk memperketat prosedur operasi standard (SOP) terhadap individu yang memasuki Sarawak dari Labuan dan negeri-negeri lain yang diumumkan baru-baru ini bertujuan melindungi rakyat di negeri itu daripada terdedah kepada varian Delta Covid-19.

Menjelaskan perkara itu dalam kenyataannya pada Jumaat, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, varian maut tersebut dilaporkan dikesan di sesetengah kawasan di wilayah terbabit.

Sebelum ini, mereka yang memasuki Sarawak dari negeri lain tidak perlu menjalani ujian calitan, namun kini perkara itu diwajibkan, katanya.

“Sesiapa yang mahu ke Sarawak sekarang perlu menjalani ujian calitan tiga hari sebelum memulakan perjalanan, manakala mereka yang tinggal di Labuan selama 21 hari tidak dibenarkan memasuki negeri ini.

“Kami berdoa agar varian Delta ini tidak memasuki negeri ini kerana ia lebih berbahaya dan lagi cepat berjangkit,” kata Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Pada 25 Jun lepas, Sarawak memperketat prosedur kemasukan ke negeri itu bagi mengekang penularan Varian Membimbangkan (VOC) Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!