Polis pantau lebih 10 lokasi makan durian
PARIT - Polis mempergiat pemantauan di lebih 10 lokasi di daerah Perak Tengah yang menjadi tumpuan makan durian beramai-ramai sepanjang musim buah ini.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pemantauan itu dilakukan bagi mengelak berlakunya sebarang aktiviti pesta durian memandangkan kawasan itu terkenal sebagai lokasi tumpuan penggemar durian.
"Beberapa tempat yang kebiasaannya dijadikan lokasi makan durian terutama di Kampung Gajah, Parit dan Bota akan dipantau dari masa ke masa lebih-lebih lagi pada hari cuti.
"Jadi kita nasihatkan orang ramai agar tidak sesekali menyertai atau menganjurkan sebarang aktiviti pesta durian ini bagi mengelak dikenakan tindakan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengetuai Op Patuh di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun menurutnya, setakat ini belum ada sebarang kompaun dikeluarkan berkaitan kesalahan berkumpul makan durian.
"Di dusun-dusun, tepi sungai dan lain-lain tempat yang telah kita kenal pasti akan dipantau membabitkan pemeriksaan dan rondaan secara lebih kerap," katanya
Sementara itu, Barudin berkata, Op Patuh yang bermula jam 11 pagi itu melibatkan pemeriksaan di premis-premis yang terlibat dalam sektor perkilangan, pengedaran dan peruncitan serta restoran dan kedai makan.
Katanya, pemeriksaan sama turut disasarkan ke atas premis yang tidak mendapat kebenaran beroperasi kerana dikhuatiri mereka tetap menjalankan perusahaan secara sembunyi.
"Ada juga kilang yang sebelum ini dah diperiksa dan tidak melibatkan apa-apa kesalahan langsung dan hari ini, kita jalankan pemeriksaan sama untuk pastikan mereka benar-benar patuh pada arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!