Lebih 9,000 usahawan terjejas akan dibantu menerusi pakej Pemulih
MERSING - Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Lembaga Kemajuan Wilayah telah mengenal pasti lebih 9,000 usahawan yang terjejas untuk dibantu menerusi pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, menerusi pakej itu, usahawan yang terlibat akan diberi penangguhan bayaran balik pembiayaan perniagaan selama tiga bulan atau penjadualan semula bayaran balik pembiayaan dengan melanjutkan tempoh bayaran balik hingga 36 bulan.
“Pemberian diskaun 30 peratus ke atas sewaan premis perniagaan juga akan dilanjutkan bagi tempoh lima bulan lagi iaitu mulai Julai hingga Disember 2021 yang akan memanfaatkan lebih 6,000 usahawan.
"Selain itu, Bantuan Geran Khas Prihatin 4.0 sebanyak RM1,000 yang dibayar secara berperingkat dijangka memberi manfaat kepada lebih 30,000 usahawan bimbingan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam kategori mikro dan kecil dengan pendapatan kurang RM300,000 setahun,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Bagi kumpulan pelajar yang menerima kemudahan pinjaman di bawah Program Pembiayaan Pendidikan Mara, beliau berkata, pihaknya menawarkan kemudahan penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan selepas kelulusan diberikan, atau penjadualan semula bayaran balik pinjaman dengan kadar bayaran balik bulanan yang lebih rendah iaitu sebanyak RM100 sebulan selama 12 bulan.
Menurutnya, kemudahan itu akan memanfaatkan lebih 14,000 pelajar.
Selain itu katanya, lebih 18,000 pelajar B40 di luar bandar telah dikenal pasti sukar mendapatkan atau tidak mempunyai akses internet bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Justeru, pakej Pemulih yang turut menawarkan 1GB (gigabait) data internet percuma diyakini dapat meningkatkan capaian internet, sekali gus memudahkan kumpulan pelajar ini dalam PdPR, kata Ahli Parlimen Mersing itu.
Abd Latiff turut menyifatkan pengumuman pakej Pemulih oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin empat hari lepas, sebagai bukti keprihatinan berterusan kerajaan kepada rakyat sejak negara berdepan penularan Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!