Capai sasaran atlet ke Tokyo 2020
KEMENTERIAN Belia dan Sukan berpuas hati dengan pencapaian 30 atlet negara yang telah berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik Tokyo, Jepun bermula pada 23 Julai depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, angka tersebut dianggap sudah mencapai sasaran dengan peningkatan atlet yang layak bukan sahaja daripada program Road to Tokyo (RTT).
"Secara umumnya senarai 30 atlet itu mencapai apa yang kita sasarkan kalau lihat sebelum ini di Olimpik Rio dengan 32 atlet dan sebelum itu juga 30 atlet yang layak. Angka itu berlegar pada 30 dan 32 atlet.
"Namun, apa yang lebih penting adalah peningkatan atlet yang bukan sahaja daripada program RTT sahaja. Sama ada atlet daripada podium mendapat slot secara relocation atau wild card, namun penyertaan mereka cukup bermakna.
"Mereka ke sana dengan pelbagai impian untuk memecahkan rekod sendiri, untuk catat personal best atau untuk catat keputusan yang lebih bak untuk kejohanan akan datang dan tentu sekali impian yang paling tinggi adalah untuk bawa pulang pingat.
"Jadi, saya melihat peluang yang ada ini perlu diambil dengan baik oleh para atlet dan secara umumnya jumlah penyertaan ini adalah sangat memuaskan," katanya kepada media selepas lawatan ke pusat menembak di MSN Bukit Jalil pada Jumaat.
Dalam pada itu, Reezal Merican turut menekankan kawalan lebih ketat dalam gelembung sukan terhadap keselamatan dan kesihatan atlet Olimpik negara sebelum berangkat ke Tokyo nanti.
"Kita sudah menyediakan gelembung sukan, cuma kali ini saya menekankan kepada MSN untuk memperketatkan lagi. Sebab dalam tempoh sekarang sehingga ke tarikh berangkat, keselamatan mereka amat penting dan telah diasingkan daripada atlet lain.
"Ia kerana protokol keselamatan dan Covid -19 diletakkan oleh Jepun adalah amat ketat dengan empat kali ujian PCR perlu diambil sebelum berlepas. Sampai di sana atlet dikatakan perlu buat ujian setiap hari.
"Jadi, kalau kita nak jaga bukan sahaja di Tokyo tetapi ketika di sini. Bayangkanlah jika pada ujian ketiga terjangkit, ia akan meninggalkan kesan dan memberikan kekecewaan kepada atlet itu sendiri dan kepada harapan negara.
"Sebab itulah, aspek keselamatan diambil kira dan mereka diasingkan selain saya tidak mahu gelembung itu pecah dan memberikan kesan kepada atlet nanti," katanya.
MEMANAH
Khairul Anuar Mohamad
Syaqiera Mashayikh
OLAHRAGA
Lee Hup Wei
Azreen Nabila Alias
BADMINTON
Lee Zii Jia
Sonila Cheah
Aaron Chia & Soh Wooi Yik
Chow Mei Kuan & Lee Meng Yean
Chan Peng Soon & Goh Liu Ying
BERBASIKAL
Mohd Azizulhasni Awang
Muhammad Shah Firdaus Sahrom
TERJUN
Nur Dhabitah Sabri
Ng Yan Yee
Cheong Jun Hoong
Pandelela Rinong Pamg &
Leong Mun Yee
GOLF
Gavin Green
Kelly Tan
GIMNASTIK
Farah Ann Abdul Hadi
Jeremiah Loo Phay Xing
PELAYARAN
Khairulnizam Mohd Afendy
Nur Shazrin Mohd Latif
Nuraisyah Jamil
Juni Karimah Noor Jamali
MENEMBAK
Nur Suryani Mohamed Taibi
RENANG
Welson Sim Wee Sheng
Phee Jing En
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!