Covid-19: Kemboja tutup sementara pintu sempadan

Hun Sen - Foto fail The Cambodia Herald
Hun Sen - Foto fail The Cambodia Herald
A
A
A

PHNOM PENH - Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen pada Khamis mengumumkan langkah pencegahan terbaharu, antaranya menutup sementara pintu sempadan antara Vietnam dan Thailand untuk membendung penularan Covid-19 termasuk varian Delta.

Dalam ucapannya, Hun Sen turut mengarahkan pihak berkuasa memperketat kawalan di pintu masuk darat, air dan udara, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Beliau mahu ujian saringan Covid-19 dilakukan di semua pintu masuk sempadan tanpa ada pengecualian.

Ujarnya lagi, pihak berkuasa berkaitan juga perlu menyediakan lebih banyak lokasi strategik untuk dijadikan pusat kuarantin serta memperkukuh bekalan perubatan di sempadan, terutama di wilayah bersempadan dengan Thailand.

Hun Sen juga meminta pegawai kesihatan di wilayah berkenaan memastikan mereka yang dijangkiti varian Delta diasingkan di pusat kuarantin yang berlainan selama 21 hari.

Pada Jun sahaja, Kemboja mengesan 22 kes varian Delta dan Delta Plus dalam kalangan pekerja Kemboja yang pulang dari Thailand. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!