30 atlet beraksi dalam 10 sukan di Tokyo 2020

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan empat lagi atlet negara diketuai jaguh lompat tinggi Lee Hup Wei layak ke Sukan Olimpik Tokyo bermula 23 Julai ini.

Selain Hup Wei, turut ke Tokyo perenang negara Welson Sim yang akan beraksi dalam acara 200m dan 400m gaya bebas lelaki manakala Phee Jinq En dalam acara 100m kuak dada wanita dan pelari pecut Azreen Nabila Alias (100m wanita) yang telah menempah tiket masing-masing ke temasya itu.

Ini adalah penampilan ketiga Hup Wei di pentas Olimpik, diikuti yang kedua buat Welson dan Jinq En manakala Azreen pula bakal membuat penampilan sulung di gelanggang berprestij itu.

Dengan kejayaan empat atlet negara dan semua kejohanan kelayakan sudah lengkap dan slot sudah diisi, MOM mengesahkan kontinjen Malaysia diwakili 30 atlet bakal beraksi dalam 10 sukan di temasya yang membuka tirau pada 23 Julai hingga 8 Ogos.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam kenyataan pada Jumaat mengucapkan tahniah kepada semua atlet yang cekal menempuhi situasi sukar dalam tempoh dua tahun terakhir demi melayakkan diri ke Sukan Olimpik.

“Kita mempunyai masa lebih kurang tiga minggu lagi menuju ke temasya itu dan kumpulan pertama adalah atlet pelayaran yang akan berlepas pada 8 Julai.

“Kami bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan akan memberi fokus kepada persiapan terakhir semua atlet bagi memastikan prestasi kemuncak di Tokyo nanti,” katanya.

Badminton kekal sebagai pasukan terbesar dalam kontinjen negara dengan lapan orang pemain, diikuti terjun (lima), pelayaran (empat) manakala masing-masing dua wakil dalam sukan memanah, olahraga, berbasikal, golf, gimnastik dan renang manakala seorang dalam sukan menembak.

Artikel Berkaitan:

Pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, kontinjen negara diwakili 32 atlet daripada 10 sukan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!