Lockdown bukan satu-satunya kaedah
SHAH ALAM - Pendekatan yang praktikal dan fleksibel sangat penting bagi memerangi pandemik Covid-19.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memetik kenyataan Utusan Khas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr David Nabarro yang mengatakan ‘lockdown’ tidak seharusnya menjadi kaedah utama mengawal wabak tersebut.
“WHO telah memberi amaran kepada ekonomi dunia berkenaan dengan ‘lockdown’ kerana kesannya yang teruk terhadap ekonomi khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.
“Pendekatan yang pragmatik dan fleksibel dalam menangani pandemik adalah kunci untuk membantu negara menghadapi cabaran ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Pada Khamis, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPD di 34 mukim di Selangor dan 14 lokaliti di Kuala Lumpur selama 14 hari bermula hari ini susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Mohamed Azmin turut menekankan mengenai komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat mencapai imuniti kelompok.
“Pada waktu yang sama, kerajaan tetap terus berusaha untuk mempercepat vaksinasi rakyat terutama kepada kelompok yang paling rentan.
“Imuniti adalah jalan yang perlu diambil untuk bergerak ke hadapan,” kata beliau.
Dalam pada itu, menerusi ciapan balas di Twitternya kepada seorang pengguna, Mohamed Azmin menunjukkan sokongan beliau terhadap pandangan yang menyatakan kilang bukan merupakan punca kepada kes baharu Covid-19.
Seorang pengguna Twitter, @ravin_surandran menyatakan kebanyakan jangkitan Covid-19 bukan melibatkan kilang tetapi sebaliknya adalah kes sporadik yang tidak diketahui puncanya.
“Kita perlu dengan sebaik mungkin bersikap terbuka. Banyak orang tidak mendapatkan fakta mereka dengan betul. Kilang bukan masalahnya,” ciap @ravin_surandran.
Azmin menerusi Twitternya membalas ciapan tersebut dengan menulis, “Tepat sekali.”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!