Inisiatif bakul prihatin bantu golongan B40 terjejas pendapatan
SEPANG - Wanita ini pernah terfikir mengibarkan bendera putih untuk meminta bantuan kerana terputus bekalan makanan, namun disebabkan perasaan malu, Noraini Dollah, 54, mencuba cara lain dengan memohon bantuan menerusi saluran Bakul Prihatin.
Noraini, seorang ibu tunggal dari Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek dekat sini, yang terjejas pendapatannya akibat penularan wabak Covid-19, merupakan antara penerima bakul makanan di bawah inisiatif Bakul Prihatin yang digerakkan Wanita Perikatan Nasional, hari ini.
Menurut Noraini, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau berniaga produk makanan sejuk beku seperti karipap dan kuih cucur badak di sekolah dan kolej komuniti serta menjual nasi lemak di kedai berhampiran yang boleh menjana pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.
"Oleh kerana PKP, semua ditutup dan pergerakan dihadkan dan semua produk tidak boleh dihantar atau dijual. Jadi tiada pendapatan, maka bekalan makanan di rumah turut terputus.
"Pernah terfikir untuk kibar bendera putih minta sumbangan makanan demi anak-anak tapi terfikir cara lain seperti memohon untuk Bakul Prihatin," katanya dalam nada sebak atas kesempitan hidupnya yang terpaksa menyara keluarga sejak kehilangan suami, 13 tahun lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang menyampaikan sumbangan bakul makanan inisiatif Bakul Prihatin hari ini berkata, program Bakul Prihatin itu menyasarkan untuk membantu 10,000 keluarga B40 yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19 untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Rina yang juga Ketua Srikandi Bersatu berkata, program berkenaan yang dilancarkan pada 4 Jun lepas telah menerima 151,000 permohonan dalam tempoh 24 jam ia diuar-uarkan.
"Ini menunjukkan ramai yang memerlukan bantuan dari segi makanan asas. Daripada sasaran 10,000 kita tingkatkan kepada 15,000 Bakul Prihatin untuk fasa pertama," katanya.
Seorang lagi penerima, Nor Rohayu Abu Bakar, 32, memberitahu, sumbangan bakul makanan yang diterimanya itu mampu bertahan untuk sebulan atau dua apatah lagi suaminya yang bekerja sebagai tukang ubah suai rumah, sudah tiada kerja.
"Pendapatan suami sebelum PKP dalam RM900 tetapi sekarang kurang RM700. Lebih-lebih lagi suami kurang sihat dan terpaksa membeli ubat," kata suri rumah dua cahaya mata berumur 12 tahun dan tujuh tahun itu sambil mengakui tempoh PKP amat memberi kesan kepada kehidupannya sekeluarga. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!