Jangan kecilkan kuasa rakyat

No Image Caption
A
A
A

DALAM sejarah peradaban manusia, ‘kuasa rakyat’ menjadi satu ungkapan budaya popular yang telah digunakan dalam pelbagai konteks. Kuasa rakyat lazimnya digunakan bagi menggambarkan kekuatan gerakan sosial yang didokong oleh masyarakat sivil. Selalunya, kekuatan pergerakan tersebut datang daripada tekanan sosial yang tinggi, mungkin disebabkan kebobrokan pemerintah ataupun impak kebejatan sosial semasa.

Menariknya, penggemblengan kuasa rakyat sering bermula dalam skala yang kecil – sebagai protes setempat ataupun kempen kesedaran dan perubahan – kemudian membesar sehingga berupaya mencetuskan revolusi yang mengubah sejarah.

Menerusi Revolusi Reben Kuning tahun 1986 di Filipina, Pemberontakan 8888 di Myanmar tahun 1988, Reformasi 1998 di Indonesia sehinggalah ke Arab Spring tahun 2011, gerakan kuasa rakyat berjaya mengubah landskap politik negara itu sekaligus mengingatkan semua pihak tentang kuasa rakyat yang sering dipandang enteng oleh pemerintah.

Teras kekuatan gerakan kuasa rakyat terletak pada sifatnya yang spontan dan tidak tersusun dalam menggerakkan massa. Selagi mana ia dilihat sebagai usaha berterusan rakyat biasa untuk membetulkan keadaan, selagi itulah kekuatannya sukar dipadamkan.

Apa yang berbahaya tentang kuasa rakyat ini adalah perlecehan terhadapnya. Kerana itulah yang sering menjadikan kuasa rakyat itu kuat dan berkembang. Arab Spring misalnya tercetus selepas perlecehan rakyat biasa di Tunisia yang perniagaan sayurnya diganggu pihak penguatkuasa. Sudahnya perlecehan itu mencetuskan revolusi rakyat dan menular sehingga menjatuhkan lima kerajaan di Timur Tengah.

Naratif tersebut jelas menggambarkan apa yang berlaku dalam negara kita sekarang. Beberapa hari sebelum ini, timbul isu bendera putih sehingga mencetuskan pelbagai polemik dalam masyarakat. Hal ini menjadi lebih parah apabila ada segelintir pemimpin politik yang memberikan ulasan dan pandangan yang memperlecehkan tindakan itu.

Apa masalahnya kalau mengibarkan bendera putih? Apakah payah sangat untuk memahami kesukaran sekarang memerlukan apa sahaja cara yang ada bagi membolehkan bantuan segera dapat dihulurkan. Tak kiralah dengan apa cara sekalipun. Perlukah hal ini dipolitikkan sebegitu rupa hanya barangkali ia timbul dari minda rakyat yang prihatin dan bukannya orang politik. Mengapa perlu memperlecehkan usaha rakyat untuk membantu sesama rakyat?

Ketika ini rakyat bersolidariti menggunakan kuasanya bagi membantu yang memerlukan. Sepatutnya pemimpin bersamalah dengan mereka. Ibarat sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk, kenalah sama-sama bertanggungjawab. Kita faham kerajaan sudah banyak membantu. Tetapi tetap masih ada lagi rakyat yang terlepas pandang daripada perhatian yang sepatutnya.

Artikel Berkaitan:

Ingatlah wahai pemimpin, sebelum ini rakyat Malaysia sudah pernah menunjukkan kuasanya. Perlecehan pemimpin terhadap rakyat biasa pernah dihukum oleh kuasa rakyat. Masih ingatkah dengan gerakan Pulang Mengundi 2018?

Ketika itu rakyat Malaysia berpakat melalui platform maya untuk membantu sesama mereka dengan pelbagai cara supaya dapat pulang mengundi. Dari berkongsi kereta, menyediakan kemudahan tambang dan bantuan kewangan sehinggalah menawarkan khidmat membawa balik kertas undi mereka yang berada di luar negara, rakyat biasa Malaysia ketika itu bersatu tanpa mengira perbezaan.

Kekecewaan rakyat terhadap pemimpin yang berterusan memperkecilkan kemampuan dan pemikiran rakyat dengan pelbagai perlecehan jelik akhirnya mencetuskan gerakan tersebut. Dalam diam rakyat bersatu dan menggerakkan usaha untuk memastikan semua dapat pulang sekaligus meningkatkan peratusan mengundi. Walaupun spontan dan tidak terancang, gerakan sekecil itu telah berkembang dan membesar dengan pantas yang akhirnya membawa kepada tumbangnya kerajaan Barisan Nasional (BN) buat kali pertama dalam sejarah.

Ingatlah peribahasa, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Jangan nanti disebabkan perlecehan itu, rakyat Malaysia sekali lagi bersatu dan angkat bendera putih ke atas kepemimpinan kamu.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!