Suryani janji bidikan terbaik

Suryani
Suryani
A
A
A

FAKTOR kekurangan kejohanan menembak yang disertai ekoran pandemik Covid-19 tidak menjejaskan semangat atlet menembak negara, Nur Suryani Taibi untuk menghadapi Sukan Olimpik Tokyo yang akan bermula pada 23 Julai ini.

Menurut Nur Suryani, dia melihat faktor itu sebagai cabaran dan berusaha memperbaiki bidikannya untuk lebih bersedia menghadapi temasya terbesar dunia itu.

"Walaupun tiada kejohanan besar, saya sentiasa bersedia dengan sesi latihan dan saya sendiri tidak terkejar-kejar untuk buat latihan yang drastik. Saya sedang kekalkan apa yang saya buat dan fokus kepada teknik dan taktikal di padang sasar.

"Saya juga tahu banyak negara yang aktif menyertai kejohanan dengan baru-baru ini ada Piala Dunia di Croatia dan mungkin mereka lebih bersedia. Tetapi, saya tidak mahu ambil peduli mengenai negara lain dengan apa yang penting adalah persembahan saya kerana sukan menembak ini kita fight dengan diri kita sendiri bukan dengan orang lain.

"Saya juga berharap akan dapat memperbaiki kedudukan yang saya capai di Olimpik 2012 yang lalu," katanya dalam sidang media secara maya pada Jumaat.

Kali terakhir Suryani menyertai kejohanan adalah pada Kejohanan Menembak Selangor di Subang Jaya, Februari tahun lalu.

Beliau bakal membuat penampilan keduanya di temasya sukan terbesar dunia itu dalam acara kegemarannya iaitu 50 meter (m) rifle tiga posisi selepas membuat kemunculan sulung pada Sukan Olimpik London 2012 dalam acara 10m air rifle.

Atlet berusia 38 tahun itu meraih tempat ke-34 daripada 55 peserta ketika di Olimpik London selain mencuri tumpuan peminat sukan global apabila bertanding meskipun sedang sarat mengandung lapan bulan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau mengakui lebih bersedia kali ini untuk mencipta impak dalam acara kegemarannya itu dengan persiapan lebih rapi di bawah bimbingan jurulatih, Yusri Jusoh di Kompleks Sukan Majlis Negara (MSN) Bukit Jalil.

"Saya tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri walaupun ini adalah acara kegemaran saya. Apa yang penting adalah saya mahu fokus menghadapi Olimpik kali ini.

"Berbanding Olimpik 2012 sangat berbeza kerana saya beraksi dalam acara air rifle dengan persiapan dan keadaan waktu itu saya mengandung. Tetapi, kali ini persiapan lebih baik dengan persediaan fizikal dan mental yang secukupnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!