La Roja berhempas pulas sebelum mara separuh akhir
BIARPUN menepati ramalan ke separuh akhir Euro 2020, Sepanyol terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Switzerland menerusi penentuan sepakan penalti 3-1, setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat masa tambahan di Stadium St Petersburg pada Sabtu.
Bermula garang sebaik wisel permulaan, Sepanyol tidak perlu menunggu lama bagi membuka jaringan apabila pertahanan Switzerland, Denis Zakaria menjaringkan gol sendiri ketika cuba menampan bola rembatan pemain Sepanyol, Jordy Alba dari luar kotak penalti pada minit ke-8.
Gol itu mula menyemarakkan semangat skuad La Roja bagi mendominasi sebahagian besar perlawanan menerusi beberapa percubaan ke gawang Switzerland, namun tiada sebarang jaringan tambahan berjaya dilakukan hingga tamat babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Switzerland mula menggandakan asakan bagi menyamakan kedudukan dan usaha berkenaan berhasil apabila kapten, Xherdan Shaqiri berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-68.
Switzerland tepaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-77, setelah Remo Freuler diperintah keluar padang kerana melakukan kekasaran terhadap pemain gantian, Gerarad Moreno.
Kesempatan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan Sepanyol bagi menambah jaringan dan menyaksikan perlawanan diheret ke masa tambahan.
Kedua-dua pasukan terus buntu untuk menambah jaringan dan sekali gus menyaksikan perlawanan ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti.
Kali ini Switzerland pula dilihat gagal memanfaatkan peluang apabila sepakan Fabian Schaer dan Manuel Akanji mudah diselamatkan penjaga gol, Unai Simon manakala sepakan Ruben Vargas pula melewati palang gol.
Justeru, peluang berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain gantian Sepanyol, Mikel Oyarzabal bagi menyempurnakan sepakan penalti terakhir dan seterusnya mengesahkan kemaraan skuad La Roja ke separuh akhir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!