'Hasrat arwah emak tertunai'
KUALA NERANG - Lima beradik yang kematian ibu pada penghujung Jun lalu terharu dengan perhatian Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang menyumbang sebuah kediaman baharu untuk mereka berteduh di Kampung Pasir Puteh, Tualak, dekat sini.
Anak sulung, Nurfarra Asyikin Norazmi, 20, berkata, sumbangan tersebut secara tidak langsung turut menunaikan hasrat Allahyarham ibu mereka, Norhashimah Abdul Majid, 43, yang mahu membina rumah sendiri, namun terhalang akibat kekangan kewangan.
Menurutnya, dia difahamkan rumah yang mempunyai tiga bilik tersebut bakal diduduki dalam tempoh dua bulan akan datang selepas siap dibina.
"Terima kasih kepada LZNK dan semua pihak yang tampil membantu kami sekeluarga. Sebelum ini memang ada hasrat mencari rumah sewa untuk kami lima beradik kerana sebelum ini menumpang di rumah bapa saudara di sini selepas berhijrah dari Pulau Pinang bersama arwah emak pada tahun lalu.
"Sumbangan ini juga secara tidak langsung turut menunaikan hasrat arwah emak," katanya selepas ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Puteh, Kuala Nerang pada Jumaat.
Nurfarra Asyikin berkata, kerja-kerja merata tanah untuk membina kediaman baharu di atas tanah nenek mereka, Banun Jasin, 96, telah dilakukan bermula Selasa lalu.
Pada 25 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang gadis berusia 20 tahun di Kampung Pasir Puteh, Tualak di sini kini menggalas tugas sebagai ketua keluarga menjaga adik-adiknya iaitu Mohd Hafiq Ridzuan, 18, Nur Anis Amira, 15, Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4 selepas kematian ibu mereka.
Nurfarra Asyikin Norazmi berkata, ibunya koma selepas kemalangan sejak dua bulan lalu dan akhirnya menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
Nasib lima beradik itu mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman dengan mendirikan sebuah rumah dan dijadualkan dapat diduduki pada September ini.
Menurutnya, buat sementara waktu, kesemua lima beradik itu akan tinggal bersama nenek mereka sehingga kerja-kerja pembinaan rumah selesai.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Mama pesan jaga adik-adik, jangan berpisah'
Lima beradik bakal dapat rumah baharu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!